21 April 2010

Belajar Jahit dan Masak

Orang-orang tua dulu selalu ingatkan anak-anak dara mereka supaya belajar menjahit dan memasak.

Jahit dan masak mesti tahu. Terutama kaum wanita, walaupun kita ada profesyen sendiri. Ia perkara asas. Ia berkaitan pakaian dan makan minum keluarga.

Hikmahnya jika tahu menjahit ialah setidak-tidaknya kalau ada pakaian koyak, kita boleh jahit sendiri. Tak perlu hantar kedai atau upah orang lain jahit.

Manakala jika pandai memasak pula, kita boleh masak apa saja makanan yang ingin dirasa oleh anak atau suami. Manakala masakannya pula lebih terjamin kesuciannya.

Hikmahnya lagi, bagi wanita yang berkerjaya dan sibuk, kemahiran menjahit dan memasak ini bukan saja boleh dijadikan hobi masa cuti, malah boleh melapangkan fikiran kita (release tension) daripada terlalu tertumpu kepada tugasan harian di pejabat.

Kedua-dua kemahiran ini juga, jika kena gayanya boleh menambah pendapatan bulanan keluarga.

Contoh yang saya suka sebut ialah perihal adik perempuan saya seorang guru siswazah yang selalu mendapat tempahan menjahit langsir daripada jiran-jirannya. Walaupun kerja samping ini dilakukannya pada hari cuti atau hujung minggu, tapi hasilnya lumayan...

Seorang jiran saya yang saya panggil Kak Zah, seorang pegawai tinggi di sebuah kementerian, pandai memasak biskut. Beliau yang akan pencen tidak lama lagi pernah memberitahu saya yang beliau akan mengembangkan 'perniagaan' membekal biskut dari rumah bersama anak perempuannya. Setidak-tidaknya tidaklah hari-hari pencennya berlalu begitu saja.

Oleh itu, ambillah "masa" anda untuk mengikuti kelas masak atau jahitan yang banyak dianjurkan pelbagai pihak berhampiran dengan kediaman anda. Pasti tidak rugi!

Tiada ulasan: