01 November 2010

Beranikan diri anda memegang gunting!


Ada orang mampu melakukan tugasan yang sukar dan berat, memandu kereta di jalan yang paling sibuk, menyiapkan tesis pengajian yang tebal, memasak resepi makanan barat yang rumit dan sebag ainya, tapi kurang berani menjahit sepasang baju kurung.

Selain kerana tidak tahu, juga kerana tidak biasa. Tidak biasa kerana tidak belajar.

Bukan kerana tidak minat menjahit. Minat boleh datang jika ia dipupuk. Sama seperti memandu. Cuba tanya berapa ramai wanita yang minat memandu? Bila hari-hari kena memandu ke pejabat, datang kemahiran memandu. Bila sudah mahir, datanglah keberanian untuk memandu laju!

Begitu juga jahitan. Bila sudah belajar, kita akan tahu teknik mengukur, memotong dan menjahit. Dari situlah akan timbul keberanian. Berani mengukur, memotong dan menjahit sepasang baju kurung, baju Melayu atau langsir beropol-ropol.

Pokok pangkalnya ialah keberanian. Keberanian yang lahir hasil tahu dan biasa melakukannya.

Saya akui, kebolehan peserta menyiapkan sepasang baju kurung dalam masa dua hari atau menyiapkan pelbagai paten langsir dalam masa tiga hari seperti yang saya tetapkan amat menggembirakan saya.

Tapi yang lebih utama dan penting daripada itu ialah saya ingin tanamkan di hati setiap peserta ialah BERANI – keberanian memotong sehelai kain untuk dijadikan sepasang baju kurung.

“Bab potong nilah yang saya kurang berani sikit. Takut silap,” itu antara kata-kata peserta saya pada peringkat awal kelas.

Jika tidak ada keberanian, dibimbangi ilmu yang dipelajari takut untuk dipraktikkan. Akhirnya ia hilang begitu saja. Sayang sekali!

Sebab itu saya sangat teruja bila ada antara peserta yang menunjukkan sehelai kain yang telah dipotong sendiri pada hari kedua pembelajaran, selang seminggu.

“Takut lupa, jadi saya beli kain baru dan potong sendiri. Minta puan semak potongannya sebelum saya jahit,” pintanya kepada saya.

Rupa-rupanya, sementara menunggu kelas kedua pada minggu berikutnya, beliau telah mempraktikkan apa yang telah dipelajarinya pada hari kelas pertama. Jadi, dalam masa dua hari kursus, beliau berjaya menyiapkan dua pasang baju kurung!

Alhamdulillah, peserta ini telah berjaya mendapat tempahan daripada saudara-mara dan jiran-jirannya. Beliau juga kemudiannya mengikuti kelas menjahit baju kebaya, dan insyallah sedang merancang untuk mengikuti kelas baju Melayu.

Tiada ulasan: