18 Disember 2010

Langsir untuk rumah ibu

Alhamdulillah, sejak akhir-akhir ini ramai yang mengambil kursus asas jahitan langsir. Ramai lagi yang bertanya itu dan ini tentang kursus langsir ini.

"Sekarang upah tempah langsir pun mahal. Lebih mahal dari belajar dengan akak ni. Itu tak termasuk harga kainnya lagi," seorang peserta saya memberitahu sebab beliau ingin sangat belajar menjahit langsir.

"Suami galak saya belajar menjahit langsir. Banyak tempat beliau selidik, terutama website yang mengajar jahitan. Ada yang yurannya sama dengan akak tapi kursusnya sehari saja. Itu dah kira terlalu intensif," beritahu seorang peserta saya yang lain. "Orang baru belajar menjahit macam saya ni tak confident pulak nak ikut kursus seintensif itu."

"Setiap orang pengajar atau sekolah jahitan ada cara mengajarnya yang tersendiri. Cuma saya memilik mengadakan kelas selama 3 hari untuk mengajar langsir ni kerana saya mahu setiap peserta saya betul-betul faham kesemua 12 paten langsir yang saya ajar dan boleh buat sendiri selepas mempelajarinya," balas saya.

"Insya-Allah, kira-kira dua atau tiga bulan lagi saya nak ambil pula kursus menjahit baju kurung dengan akak," katanya.

"Mengapa kena tunggu dua atau tiga bulan?" soal saya ingin tahu.

"Sebab saya nak siapkan dulu langsir-langsir baru rumah saya ni. Bila akak datang sekali lagi, kesemua langsir rumah saya ni langsir baru yang saya jahit sendiri," jawabnya.

"Alhamdulillah," balas saya tersenyum.

"Lepas langsir baru rumah saya ni siap, saya nak jahit pula langsir baru untuk rumah mak," katanya lagi penuh ceria.

"Alhamdulillah..." kata saya bertambah panjang.

Saya benar-benar terharu kerana ilmu yang saya ada telah membantu seorang anak untuk berbudi kepada ibunya.

Pesan saya, carilah keberkatan hidup di dunia ini melalui kegembiraan yang mampu kita lakukan untuk kedua orang tua kita, selagi mereka masih ada.


Untuk menyertai bengkel, sila baca entri terbaru (klik sini) kami.

Harap maklum.