13 Julai 2011

"Susah ke nak jahit kain swiss cotton?"

Baru-baru ni, saya ada menerima mesej yang dihantar ke FB saya oleh salah seorang peserta saya yang paling muda. Saya begitu teruja dan sangat gembira membacanya.

Memandangkan pertanyaannya, saya rasa begitu penting dan mungkin menjadi pertanyaan orang lain juga, maka saya siarkannya untuk tatapan semua. Mudah-mudahan jawapan saya dapat membantu sesiapa saja yang menghadapi masalah yang sama.

Begini pertanyaannya:

1. Cikgu, baju Aina dah siap selasa lepas. Ingat nak jahit baju lagi... Aina cadang nak beli kain secara online. Nak minta nasihat cikgu, kain jenis apa senang handle. Kalau swiss cotton senang tak nak handle cikgu?

2. Aina ada jahitkan baju kurung untuk adik. Bajunya kain cotton, cuma kainnya jenis kain satin. Aina ambil masa lama dekat 1 jam nak potong kain tu. Tak tau boleh handle ke tak bila nak jahit nanti...

Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kepada Aina kerana begitu tekun mencuba. Saya yakin satu hari nanti Aina akan mahir menjahit. Ia akan menjadi satu kelebihan yang sangat menguntungkan bagi Aina, walaupun ketika itu Aina mungkin sudah ada satu kerjaya yang tetap.

Semasa bengkel, saya akan ajar peserta menjahit menggunakan kain cotton biasa sahaja. Tujuannya supaya para peserta yang mungkin baru pertama menjahit dapat memotong kain dan menjahitnya dengan mudah dan yakin.

Apabila sudah tahu teknik menjahit, teruskan lagi mencuba menjahit beberapa pasang baju kurung atau sekurang-kurangnya tiga pasang.

Setelah berasa agak mahir, bolehlah mencuba menjahit kain dari jenis yang lain pula yang agak lembut. Umpamanya swiss cotton, cotton woile, indian cotton, kain satin, sutera dan lain-lain. Perlu diingat, menjahit kain yang lembut, agak sukar dan mencabar sikit. Tapi kita perlu mencubanya. Sebab itu upah menjahitnya juga lebih mahal. Tak sama upah menjahit baju kurung dari kain cotton biasa dan kain sutera!

Cuma bagi kain jenis yang lembut tadi, cara memotongnya sama seperti cotton biasa (seperti semasa belajar di bengkel), cuba kita kena sematkan jarum peniti lebih sikit pada bahagian yang nak dipotong itu.

Manakala semasa menjahitnya, kain tersebut tidaklah perlu ditarik (kerana ia dikhautiri memeri dan akan mengubah saiz ukuran baju).

Selamat mencuba. Kerana apabila selalu mencuba, secara otomatik kemahiran menjahit apa-apa jenis kain, termasuk jenis yang lembut menjadi mudah.

Tiada ulasan: