Puan Ila dari Kota Damansara adalah peserta saya yang begitu teruja dengan kaedah mudah bagaimana untuk menjahit langsir yang saya ajar.
Beliau sering berkata cara saya mengajar tak sama dengan apa yang pernah dipelajari. Bila saya tanya apa yang tak sama, beliau jawab cara saya lebih mudah. Malah apa yang begitu sukar difahami semasa beliau belajar dulu, kini telah dapat difahami dengan mudah.
Saya jawab, setiap orang guru ada cara dan kaedahnya yang tersendiri untuk mengajar. Dulu pun saya belajar kaedah yang sama, ada kaedah yang mudah dan ada yang susah. Belajar step by step. Memang begitulah cara belajarnya.
Walau bagaimanapun, saya lebih suka memudahkan kaedah mengajar kepada peserta saya berdasarkan ilmu yang pernah saya pelajari, yang kemudiannya saya olah semula berdasarkan pengalaman yang saya ada sejak saya belajar menjahit dulu.
Dulu, kira-kira 30 tahun lalu, masa saya masih bersekolah menengah lagi, saya dan adik-adik suka belajar menjahit langsir di kedai jahitan milik jiran saya di Kajang. Sambil belajar menjahit, dapat pula upah. Itu yang seronoknya.
Begitulah rutin kami setiap kali cuti hujung tahun atau semasa tunggu keputusan SPM. Alhamdulillah jiran saya itu jenis orang yang tak kedekut ilmu. Dari ilmu dan pengalaman beliaulah saya cuba pula tumpahkan kepada peserta saya pada hari ini.
Berbalik kepada cara kelas saya, saya perlu habiskan kursus jahitan langsir kepada setiap peserta dalam masa 3 hari sahaja! Itulah limit masa yang saya tetapkan. Dan inilah sebabnya saya namakan kursus saya sebagai KURSUS INTENSIF JAHITAN - Mudah, Cepat & Berkesan.
Oleh kerana itu, apa yang menjadi keutamaan bagi saya ialah peserta saya MESTI dapat mempelajari ilmu yang pernah saya ikuti selama beberapa minggu HANYA dalam masa 3 hari saja. Alhamdulillah, sehingga hari ini, kesemua peserta yang ambil kelas langsir saya dapat mengikuti pelajaran dengan baik.
Jika mereka rajin mempraktik apa yang saya ajar, insyallah, jahitan mereka bukan saja akan bertambah kemas, bahkan saya tidak ragu-ragu mereka akan mendapat tempahan menjahit langsir daripada orang lain juga.
Mudah-mudahan Allah SWT pelihara dan permudahkan segala usaha dan bakti saya ini.
Berikut adalah sebahagian contoh hasil kerja Puan Ila.