Memaparkan catatan dengan label Bengkel Intensif Baju Kurung. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bengkel Intensif Baju Kurung. Papar semua catatan

24 Oktober 2011

Bengkel Jahitan Ke-11: Lelaki juga boleh belajar.

Abang ipar saya seorang tukang jahit yang agak dikenali ramai di Kota Bharu. Beliau amat mahir menjahit pakaian lelaki terutamanya baju Melayu, kemeja, kot dan sebagainya. Jahitannya amat kemas. Namun begitu saya tak pasti sama ada beliau pernah menjahit baju kurung atau tidak? Tapi saya yakin beliau tahu.

Sewaktu membuat tinjauan prospek kedai jahit di sekitar kawasan saya, saya pernah berkunjung ke sebuah kedai jahit di Sungai Buloh. Kebetuan ia terletak dalam laluan saya ke Kuala Lumpur. Ia milik tukang jahit lelaki dibantu seorang tukang jahit wanita.

Walaupun mungkin pakaian wanita dijahit oleh tukang jahit wanita, saya rasa tukang jahit lelaki itu tahu menjahitnya. Boleh dikatakan setiap kali saya lalui jalan tersebut, saya pasti menoleh ke arah kedai itu. Dan saya dapati kedai jahit itu makin maju dan berkembang.

Apa kaitannya entri bengkel kali ini dengan kedai dan tukang jahit lelaki di atas?

Ada. Sebab bengkel jahitan kali ini turut dihadiri oleh dua peserta lelaki. Mereka belajar menjahit kerana ingin mengajarnya semula kepada anak-anak, ingin mencari kemahiran tambahan selain yang dah dimiliki, selain mengisi masa lapang. Jahitan mereka agak baik, walaupun itulah kali pertama mereka menjahit.

Saksikan gelagat dan kesungguhan para peserta kali ini menimba ilmu jahitan...







Untuk menyertai bengkel, sila baca entri terbaru (klik sini) kami.

Harap maklum.

25 September 2011

Bengkel Jahitan Ke-10: Keseronokan bila baju siap...

"Alhamdulillah, dah siap baju saya. Bolehlah saya pakai ke pejabat minggu depan," ujar salah seorang peserta bengkel jahitan kali ke-10 ini, melonjak kegembiraan.

Saya tersenyum dan tumpang gembira. Begitu juga reaksi peserta lain tatkala melihat beliau menggayakan baju kurung yang baru siap dijahit.

Walhal, menurut peserta itu lagi, sebelum ini beliau hanya mampu menjahit lurus saja. Itu pun pernah juga beliau cuba-cuba menjahit seluar anaknya yang koyak. Entah di mana silapnya, lagi dijahit lagi bertambah koyaknya. Akhirnya seluar tersebut terpaksa dibuang begitu saja...

Alhamdulillah, hari ini beliau telah mampu menyiapkan sepasang baju kurung dengan baik. Harapan saya, mulai hari ini, beliau dan termasuk juga lain-lain peserta bengkel ini dan bengkel-bengkel sebelumnya, hendaklah terus mempraktis ilmu jahitan yang telah dipelajari ini.

Insyallah, lagi dipraktis, lagi banyak ilmu dan kemahiran yang akan anda perolehi.

Dan jika anda menemui masalah baru yang tidak dapat anda selesaikan, jangan bertangguh untuk menghubungi saya!

Berikut adalah suasana bengkel kali ini...



Untuk menyertai bengkel, sila baca entri terbaru (klik sini) kami.

Harap maklum.

18 September 2011

Bengkel Jahitan Ke-9: Yang pertama lepas raya...

Alhamdulillah, bengkel kali ke-9 ini selesai dengan jayanya.

Pada mulanya, saya agak khuatir untuk mengadakan bengkel sebegitu awal selepas raya... bimbang kekurangan peserta... maklumlah musim rumah terbuka di merata-rata.

Walau bagaimanapun, dek kerana ramai yang menghubungi, saya segera mengatur kelas. Mulai hujung minggu ini, minggu depan dan seterusnya... semata-mata kerana ingin berkongsi ilmu dengan para peserta.

Tambah membakar semangat, setelah saya menerima sms daripada salah seorang peserta yang pernah mengikuti bengkel saya:

"Saya telah berjaya menyiapkan 4 pasang baju kurung raya untuk anak saya dengan ilmu yang akak ajar. Baju raya saya belum siap, ada 2 pasang..."

Tahniah saya ucapkan. Tambah membanggakan saya, walaupun dalam kesibukan tugasan sebagai seorang jurutera, beliau berjaya juga "mencuri" masa untuk menjahit.

Berikut adalah suasana bengkel kali ini...





02 Ogos 2011

Bengkel Jahitan Ke-8: Sehari sebelum puasa

Alhamdulillah, bengkel jahitan baju kurung kali ke-8 berjaya juga diadakan pada 30-31 Julai lalu (sehari sebelum Ramadan) di TTDI, walaupun daripada asalnya 6 peserta yang telah mendaftar dan bayar pendahuluan, hanya dua peserta sahaja yang dapat hadir. Kerana, antaranya terpaksa bekerja pada hari tersebut.

Walaupun hanya dua peserta sahaja yang dapat hadir, kelas tetap diteruskan. Tambahan pula bayaran sewa dewan telah dijelaskan sehari sebelum bengkel bermula.

Kedua-dua peserta telah dapat menyiapkan assignment mereka dengan baik dan cepat. Menjelang zuhur hari ke-2, kelas dapat ditamatkan dengan jayanya.

Oleh kerana bengkel ini yang terakhir sebelum kami bercuti rehat selama sebulan sempena Ramadan, jadi saya ingin menyarankan kepada semua peserta yang pernah belajar dengan saya agar mempraktikkan semula segala ilmu jahitan yang telah dipelajari.

Inilah masanya untuk anda melatih kemahiran menjahit anda. Jahitlah sendiri baju kurung raya anda dan juga baju kurung raya anak-anak anda. Selain menambah kemahiran menjahit, ia juga dapat menjimatkan perbelanjaan kita.

Iya, mungkin kita akan agak penat sikit pada bulan ramadan ni, tambahan pula masapun suntuk. Siangnya dengan bekerja dan berpuasa, malamnya dengan solat terawih. Tapi cuba-cubalah cari masa yang sesuai untuk mempraktikkan latihan menjahit ini, terutamanya pada hujung minggu.

Sempena kedatangan Ramadan kali ini, marilah sama-sama kita berdoa moga-moga puasa kita kali ini jadi puasa yang terbaik yang dapat kita laksanakan, dan diterima oleh Allah sebagai amal jariah kita kelak.

Dikesempatan ini juga, saya ingin memohon berbanyak-banyak maaf jika selama saya membimbing kelas, saya terkasar bahasa atau perbuatan. Mudah-mudahan usaha kecil saya ini diterima baik oleh Allah swt.

Berikut suasana ringkas bengkel kali ke-8 di Kompleks Balai Islam, Taman Tun Dr Ismail...




25 Julai 2011

Bengkel Jahitan Ke-7: "Inilah yang saya suka!"

1. Alhamdulillah, bengkel intensif baju kurung kali ke-7, telah selesai dengan jayanya. Seramai 7 peserta dari kawasan sekitar telah mengikuti bengkel di Kajang ini.

"Inilah yang saya suka," kata salah seorang peserta sebaik selesai menyiapkan jahitan pada bahagian pinggang. Rupa-rupanya beliau menyukai sudahan bahagian pinggang pada kain - gabungan antara getah dan bakrem.

Iya, bahagian pinggang nampak kemas bila digabung getah dan bakrem.


2. Seperkara lagi yang disukai oleh peserta ialah jahitan matalalat pada bahagian leher, walaupun ada antaranya sebelum ini sudah pandai menjahit leher jenis karipap.

Ada yang mengirim emel memberitahu beliau mempraktis menjahit matalalat sepanjang dalam komuter ketika nak ke pejabat....

Seronok saya mendengarnya. Ini menjadikan saya bertambah bersemangat untuk memberikan yang terbaik kepada peserta saya.

3. Bengkel intensif baju kurung kali ke-8 yang akan diadakan pada hujung minggu ini iaitu pada hari sabtu dan ahad ini / 30 - 31 Julai ini (sehari sebelum puasa) adalah merupakan sessi yang terakhir sebelum bulan puasa.

Bengkel hujung minggu ini sepatutnya dihadiri oleh 7 peserta. Malangnya seramai 3 peserta yang telah pun membayar deposit, terpaksa menunda kelas mereka selepas raya kerana pada hujung minggu ini mereka terpaksa bekerja.

Sehubungan itu, jika ada sesiapa yang berminat, sila hubungi saya segera.

Insyallah bengkel ke-9 pula akan diadakan pada 17 - 18 September nanti bertempat di TTDI.

Berikut adalah suasana semasa bengkel jahitan kali ke-7...




17 Julai 2011

Bengkel Jahitan Ke-6: Kemahiran mengukur dan menggunting

Alhamdulillah, bengkel jahitan baju kurung kali ke-6 selesai dengan jayanya.

Kali ini gerak kerja kesemua peserta agak baik dan cepat. Ini mungkin kerana saya memadan-regukan antara sesama peserta. Peserta A akan membantu peserta B mengukur dan menggunting kainnya. Kemudian peserta B pula membantu kerja peserta A.

Secara tidak langsung setiap peserta mendapat dua kali latihan mengukur dan menggunting. Hanya apabila menjahit sahaja, mereka akan melakukannya secara berseorangan di meja masing-masing.

Mengukur dan menggunting dengan betul akan memudahkan kerja-kerja menjahit seterusnya. Ia satu seni. Ia juga satu kemahiran. Ia dapat diperolehi apabila kita selalu mengulang-ulangnya.

Silap mengukur, lebih-lebih lagi jika silap menggunting akan merosakkan hasil akhir sehelai baju kurung!

Berikut, adalah suasana bengkel ke-6...







10 Julai 2011

Bengkel Jahitan Ke-5: Hampir Kena Tunda...

Alhamdulillah, bengkel kali ke-5, berjaya juga diadakan, walaupun sehari sebelum bengkel diadakan, beberapa peserta menelefon bertanyakan sama ada saya akan meneruskan juga kelas pada Sabtu 9 Julai? Sabtu 9 Julai bersamaan hari berlangsungnya perhimpunan Bersih di KL.

Setelah berbincang dengan suami, kami mengambil keputusan untuk meneruskan juga kelas menandangkan hanya seorang peserta sahaja dijangka tidak dapat hadir pada hari sabtu kerana kebetulan rumahnya berada di Setapak, KL. Lagi pun, sewa dewan telah dibayar sehari sebelumnya.

Kalaupun beliau datang, saya jangka beliau akan terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang teruk. Saya sendiri, sewaktu dalam perjalanan dari Ijok ke TTDI, juga tersangkut di kawasan Damansara Damai. Nasib baik suami cepat sedar dan segera berpatah balik, melencong ke Jalan Lapangan Terbang, masuk ke Kota Damansara dan terus ke TTDI.

Manakala peserta lain tiada masalah kesesakan jalan kerana mereka tinggal di Kota Damansara atau Subang.

Pada hari Satu, jumlah peserta adalah 5 orang. Manakala pada hari Ahad, semua peserta hadir termasuk Puan Asmah dari Setapak, menjadikan jumlahnya 6 orang kesemuanya. Cuma beliau akan ganti kelas hari Sabtu yang tertinggal itu pada bengkel yang akan datang.

Berikut adalah suasana bengkel ke-5 di TTDI...








04 Julai 2011

Bengkel Jahitan Ke-4: Pesertanya muda belaka

Alhamdulillah, saya baru saja selesai mengendalikan satu lagi bengkel intensif baju kurung di Kajang. Inilah kali pertama saya mengadakan bengkel di luar Lembah Klang.

Dan inilah juga kali pertama saya mengadakan bengkel jahitan kepada peserta dari kalangan generasi muda - rata-rata mereka berusia antara 21 - 28 tahun! Sekali lagi saya bersyukur kerana berjaya menanam minat menjahit ke dalam jiwa "orang muda".

Pada hari pertama mereka agak perlahan mengikuti pembelajaran. Maklumlah, mereka tak pernah belajar menjahit. Kecuali seorang dua yang tahu jahit lurus. Namun sebaliknya pada hari kedua. Mereka agak cepat dapat menyiapkan jahitan bahagian kain.

Hasilnya bengkel berjaya tamat lebih awal daripada jangkaan.

Segulung tahniah dihulurkan kepada kesemua peserta muda saya! Jangan lupa praktis ilmu yang telah dipelajari dan jangan serik menambah ilmu dan pengalaman.

Berikut adalah suasana bengkel kali ke-4...