Memaparkan catatan dengan label Panduan Menjahit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Panduan Menjahit. Papar semua catatan

13 Julai 2011

"Susah ke nak jahit kain swiss cotton?"

Baru-baru ni, saya ada menerima mesej yang dihantar ke FB saya oleh salah seorang peserta saya yang paling muda. Saya begitu teruja dan sangat gembira membacanya.

Memandangkan pertanyaannya, saya rasa begitu penting dan mungkin menjadi pertanyaan orang lain juga, maka saya siarkannya untuk tatapan semua. Mudah-mudahan jawapan saya dapat membantu sesiapa saja yang menghadapi masalah yang sama.

Begini pertanyaannya:

1. Cikgu, baju Aina dah siap selasa lepas. Ingat nak jahit baju lagi... Aina cadang nak beli kain secara online. Nak minta nasihat cikgu, kain jenis apa senang handle. Kalau swiss cotton senang tak nak handle cikgu?

2. Aina ada jahitkan baju kurung untuk adik. Bajunya kain cotton, cuma kainnya jenis kain satin. Aina ambil masa lama dekat 1 jam nak potong kain tu. Tak tau boleh handle ke tak bila nak jahit nanti...

Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kepada Aina kerana begitu tekun mencuba. Saya yakin satu hari nanti Aina akan mahir menjahit. Ia akan menjadi satu kelebihan yang sangat menguntungkan bagi Aina, walaupun ketika itu Aina mungkin sudah ada satu kerjaya yang tetap.

Semasa bengkel, saya akan ajar peserta menjahit menggunakan kain cotton biasa sahaja. Tujuannya supaya para peserta yang mungkin baru pertama menjahit dapat memotong kain dan menjahitnya dengan mudah dan yakin.

Apabila sudah tahu teknik menjahit, teruskan lagi mencuba menjahit beberapa pasang baju kurung atau sekurang-kurangnya tiga pasang.

Setelah berasa agak mahir, bolehlah mencuba menjahit kain dari jenis yang lain pula yang agak lembut. Umpamanya swiss cotton, cotton woile, indian cotton, kain satin, sutera dan lain-lain. Perlu diingat, menjahit kain yang lembut, agak sukar dan mencabar sikit. Tapi kita perlu mencubanya. Sebab itu upah menjahitnya juga lebih mahal. Tak sama upah menjahit baju kurung dari kain cotton biasa dan kain sutera!

Cuma bagi kain jenis yang lembut tadi, cara memotongnya sama seperti cotton biasa (seperti semasa belajar di bengkel), cuba kita kena sematkan jarum peniti lebih sikit pada bahagian yang nak dipotong itu.

Manakala semasa menjahitnya, kain tersebut tidaklah perlu ditarik (kerana ia dikhautiri memeri dan akan mengubah saiz ukuran baju).

Selamat mencuba. Kerana apabila selalu mencuba, secara otomatik kemahiran menjahit apa-apa jenis kain, termasuk jenis yang lembut menjadi mudah.

24 Januari 2011

Jahitannya cantik dan kemas


“Cantik dan kemas jahitan ni,” tanpa sedar saya pernah memuji hasil kerja beberapa peserta saya. “Kalau selalu praktis, boleh terima tempahan ni.”

Kadang kala saya seakan tidak percaya mereka dapat menjahit dengan baik dan kemas. Lebih-lebih lagi kerana saya sedar itulah kali pertama mereka mula memberanikan diri menggunting baju dan menggunakan mesin jahit.

Iya, biasanya satu atau dua jam pertama kelas dihabiskan dengan latihan tertentu, antaranya sedikit pengenalan tentang peralatan jahitan dan mesin (bagi mereka yang tidak pernah belajar jahitan), selain peserta sendiri diberi peluang berlatih mengguna dan mengawal pergerakan mesin. Diikuti cara mengukur berdasarkan ukuran badan sendiri dan menggunting, seterusnya menjahit baju sehingga siap.

Ini membuatkan saya sedikit bangga dan bersyukur kerana peserta saya dapat mengikuti kursus jahitan saya dengan jayanya.

Akhirnya saya sedar bahawa saya bukan sekadar mengadakan kursus jahitan intensif selama 2 hari kepada mereka, menerima bayaran dan pulang.

Tetapi lebih daripada itu, saya juga harus sedar bahawa tugas saya yang lebih mencabar ialah mengcungkil kebolehan yang selama ini terpendam dalam diri setiap peserta saya.

Selagi mereka tidak mencuba untuk belajar menjahit, selama itulah kebolehan istimewa mereka ini akan tersimpan begitu saja.

Alangkah ruginya…

01 November 2010

Beranikan diri anda memegang gunting!


Ada orang mampu melakukan tugasan yang sukar dan berat, memandu kereta di jalan yang paling sibuk, menyiapkan tesis pengajian yang tebal, memasak resepi makanan barat yang rumit dan sebag ainya, tapi kurang berani menjahit sepasang baju kurung.

Selain kerana tidak tahu, juga kerana tidak biasa. Tidak biasa kerana tidak belajar.

Bukan kerana tidak minat menjahit. Minat boleh datang jika ia dipupuk. Sama seperti memandu. Cuba tanya berapa ramai wanita yang minat memandu? Bila hari-hari kena memandu ke pejabat, datang kemahiran memandu. Bila sudah mahir, datanglah keberanian untuk memandu laju!

Begitu juga jahitan. Bila sudah belajar, kita akan tahu teknik mengukur, memotong dan menjahit. Dari situlah akan timbul keberanian. Berani mengukur, memotong dan menjahit sepasang baju kurung, baju Melayu atau langsir beropol-ropol.

Pokok pangkalnya ialah keberanian. Keberanian yang lahir hasil tahu dan biasa melakukannya.

Saya akui, kebolehan peserta menyiapkan sepasang baju kurung dalam masa dua hari atau menyiapkan pelbagai paten langsir dalam masa tiga hari seperti yang saya tetapkan amat menggembirakan saya.

Tapi yang lebih utama dan penting daripada itu ialah saya ingin tanamkan di hati setiap peserta ialah BERANI – keberanian memotong sehelai kain untuk dijadikan sepasang baju kurung.

“Bab potong nilah yang saya kurang berani sikit. Takut silap,” itu antara kata-kata peserta saya pada peringkat awal kelas.

Jika tidak ada keberanian, dibimbangi ilmu yang dipelajari takut untuk dipraktikkan. Akhirnya ia hilang begitu saja. Sayang sekali!

Sebab itu saya sangat teruja bila ada antara peserta yang menunjukkan sehelai kain yang telah dipotong sendiri pada hari kedua pembelajaran, selang seminggu.

“Takut lupa, jadi saya beli kain baru dan potong sendiri. Minta puan semak potongannya sebelum saya jahit,” pintanya kepada saya.

Rupa-rupanya, sementara menunggu kelas kedua pada minggu berikutnya, beliau telah mempraktikkan apa yang telah dipelajarinya pada hari kelas pertama. Jadi, dalam masa dua hari kursus, beliau berjaya menyiapkan dua pasang baju kurung!

Alhamdulillah, peserta ini telah berjaya mendapat tempahan daripada saudara-mara dan jiran-jirannya. Beliau juga kemudiannya mengikuti kelas menjahit baju kebaya, dan insyallah sedang merancang untuk mengikuti kelas baju Melayu.

07 Jun 2010

Ye ke aku boleh jahit ni?

Seorang surirumah emel kepada saya:

Kursus yg puan anjurkan Cuma 2 hari jer... Kalau orang baru macam saya yang langsung tak ada asas jahitn dan tak tau pasal jahitan...cukup ke msa 2 hri tu? Saya harap sangat puan dapat jelaskan..

Jawapan saya:

Alhamdulillah, ramai antara peserta saya langsung tak pernah ada asas menjahit. Bahkan ada yang langsung tak pernah pegang mesin pun.

Beberapa hari sebelum belajar itulah baru mereka beli mesin jahit. Sebelum hari belajar, saya pesan supaya mereka biasakan dulu menjahit – ambil perca kain, dan jahit lurus. Jahitlah berulang kali supaya tangan kita dapat mengawal pergerakan mesin.

Berkat ketekunan mereka, mereka dapat menjahit sepasang baju kurung dengan sempurna.

Biasanya mereka akan terkejut bila lihat baju dah siap. "Ye ke aku boleh jahit ni?" kata mereka terkejut.

Cuma pesan saya kepada mereka, kena selalu berlatih, agar tangan dapat jahit dengan kemas dan cantik. Belilah kain yang murah-murah dulu, yang penting kena selalu dipraktik ilmu yang tekah dipelajari.

Biasalah orang tak pernah menjahit, sudah pasti jahitan mereka belum kemas. Ada bengkang bengkok di sana sini.

Itulah proses belajar.

17 April 2010

Silap Pasang Benang

Puan Yus seorang peserta dari Manjalara meminta nasihat untuk membeli mesin jahit.

Beberapa hari sebelum beliau memulakan kelas, beliau menelefon untuk menangguhkan kelas. Kerana katanya mesinnya ada masalah.

“Kita mulakan kelas seperti dirancang. Mana tahu saya dapat bantu tengok-tengokkan mesin tu,” balas saya. Saya juga bawa mesin dari rumah sebagai persediaan mesin ganti.

“Alhamdulillah, dah ok kak. Jiran saya yang baiki,” ujarnya sewaktu menyambut saya.

“Apa masalah mesin tu?” tanya saya.

“Silap pasang benang je,” katanya gelak kecil.

Iya, walaupun itu masalah kecil, tapi sepatutnya si penjual menerangkan dengan jelas cara-cara memasang benang, cara bersih mesin dan lain-lain lagi.

Saya kagum dengan Puan Yus. Walaupun baru pertama kali pegang mesin jahit (belajar / berlatih jahit lurus pun hanya pada pagi pertama kelas), tapi telah berjaya menyiapkan sepasang baju kurung yang cantik dalam masa dua hari belajar! Alhamdulillah.



06 Februari 2010

SOALAN LAZIM

Saya sering ditanya soalan-soalan berikut oleh peserta yang baru pertama kali hendak belajar menjahit. Antaranya...

SOALAN : Bagaimanakah kaedah puan mengajar?

JAWAPAN : Saya mengajar teknik mudah untuk menjahit sepasang baju. Bagaimana teknik membuat ukuran, teknik memotong, menjahit, cara mudah membuat dan menjahit leher, dan sebagainya.

Saya akan ajar cara paling mudah untuk menjahit sepasang baju mengikut tahap dan keupayaan peserta. Kerana saya sedar ada antara peserta langsung tidak pernah “pegang” mesin jahit pun sebelum ini. Dan cara saya ini diakui mudah dan praktikal oleh beberapa peserta yang pernah mengikuti kelas jahitan lain sebelum belajar dengan saya.

Sebenarnya, apa yang saya ajar kepada peserta ialah cara-cara bagaimana saya menyiapkan tempahan pakaian daripada pelanggan saya setiap hari. Saya gabungkan ilmu jahitan yang saya pernah belajar dengan beberapa institusi swasta dan pengalaman saya menjahit selama lebih 20 tahun. Ini bermakna saya ajar apa yang saya buat.

Bagi memudahkan peserta belajar, saya tetapkan jumlah peserta bagi setiap sessi ialah antara seorang hingga tiga orang sahaja. Jumlah yang kecil ini memudahkan saya memberi tunjukajar secara terus (hands-on) kepada peserta. Mereka juga akan dapat siapkan kerja di bawah pengawasan terus daripada saya.

SOALAN : Saya belum pernah belajar menjahit. Pegang mesin pun tak tahu. Bolehkah saya pandai dalam masa dua hari?

JAWAPAN : Pengalaman saya, kebanyakan peserta yang belajar dengan saya, ada yang tidak pernah belajar menjahit. Dalam erti kata mudah, tidak pernah pegang mesin!

Alhamdulillah, berkat ketekunan mereka, akhirnya kesemua mereka kini sudah mampu menjahit baju sendiri. Malah ramai juga yang sudah menerima tempahan jahitan daripada jiran atau kawan-kawan.

Seorang peserta saya dari Langkawi yang ambil pakej baju Melayu, kini mampu menerima tempahan menjahit baju Melayu di sana.

SOALAN : Saya tiada mesin jahit. Perlukan saya membelinya?

JAWAPAN : Saya selalu nasihatkan bakal peserta agar membeli mesin sendiri sebelum mula belajar.

Tujuannya supaya peserta dapat membiasakan diri dengan mesin jahit. Sebagai permulaan, ambil perca kain yang tidak dipakai dan buatlah jahitan lurus dulu. Lakukannya setiap kali anda ada kelapangan masa. Tujuannya supaya peserta dapat memahirkan pergerakan dan kawalan tangan semasa menggunakan mesin.

Bila kita selalu menjahit lurus, insya-Allah kita akan mudah mengawal mesin ketika kita belajar menjahit sepasang baju kurung.

Sebelum beli mesin, ada baiknya kalau puan-puan dapat menelefon saya dahulu. Insyaallah, saya akan beri sedikit nasihat tentang mesin mana yang sesuai dibeli.

SOALAN : Bagaimana jadual kelas puan?

JAWAPAN : Jadual kelas saya ialah setiap pada hujung minggu iaitu hari Sabtu dan Ahad.

Ada peserta memilih setiap hari Sabtu selama dua kali berturut. Ada yang pilih hari Ahad. Malah ada juga yang pilih hari Sabtu dan Ahad sekaligus.

Biasanya kelas dimulakan pukul 10 pagi – 5 petang. Namun, adakalanya saya mula awal iaitu jam 9 pagi dan berakhir jam 6 petang. Ini bergantung kepada kesungguhan dan kesediaan peserta untuk belajar.

SOALAN : Berapa yuran?

JAWAPAN : Sejak akhir-akhir ini kebanyakan peserta memilih untuk belajar teknik menjahit baju kurung.

Yuran untuk kelas baju kurung selama dua hari ialah RM250 seorang.

Bagaimana pun, jika peserta ada membawa satu atau dua peserta lagi, peserta akan diberikan diskaun.

Saya juga mengenakan sedikit charge kenderaan bagi mana-mana lokasi melebihi 50 km jaraknya dari rumah saya. Kadar bayarannya akan ditentukan semasa perbincangan dengan peserta. Biasanya tidak melebihi RM30 sahaja bagi dua kali kelas.

SOALAN : Jika kelas diadakan di rumah saya, perlukan saya menyediakan makan tengahari untuk semua peserta?

JAWAPAN : Saya tidak menetapkan peserta tuan rumah untuk menyediakan makanan, sama ada untuk saya atau peserta lain.

Selalunya saya akan bawa bekal sendiri untuk sarapan dan makan tengahari.

Pada peringkat awal saya membuka kelas begini dulu, saya akan keluar antara jam 1 – 2 petang ke surau atau masjid berdekatan untuk rehat, makan dan solat Zuhur. Namun, cara ini banyak memakan masa saya. Ada kalanya lebih sejam.

Jadi saya ambil keputusan untuk berehat sekejap pada waktu tengahari, sambil makan dan solat Zuhur di rumah peserta sahaja. Cara ini amat menjimatkan masa.

09 Ogos 2009

Pandai menjahit dalam 2 hari?


Seorang pemanggil menelefon saya...

Soalan

Saya ingin mengikuti kelas puan. Adakah saya mampu menyiapkan sepasang baju kurung sendiri cuma hanya dengan mengikuti kelas puan selama dua hari sahaja?

Jawapan
Jawapan saya ringkas sahaja. ‘Minat’ dan ‘yakin boleh buat’ adalah dua kunci utama untuk berjaya.

Pengalaman saya mengajar peserta selama ini (mengajar di rumah) membuktikan mereka mampu menghasilkan sepasang baju kurung yang baik dalam jumlah masa kira-kira 15 jam. Cuma, untuk mendapat hasil yang lebih kemas dan cantik, mereka hendaklah selalu mempraktikkannya dengan selalu menjahit.

Ada baiknya bagi sesiapa yang ingin mengikuti kelas saya, agar membiasakan diri terlebih dahulu dengan cara-cara mengendalikan mesin jahit. Ambil sehelai kain terpakai, dan jahitlah semahu-mahu. Ia dapat membantu anda pergerakan kaki dan tangan sewaktu menjahit, dan mengawal kelajuan mesin.

01 Ogos 2008

Saya tidak tahu menjahit langsung!


Seorang surirumah emel kepada saya soalan berikut:

Saya berminat untuk belajar menjahit tetapi masalah saya ialah tidak ada langsung asas menjahit. Saya tidak tahu menjahit langsung! Jadi boleh ke saya mahir menjahit dalam masa 2 atau 3 hari ? Apa pandangan puan? Sila jawab melalui email juga. Sekian, terima kasih.

Taman Medan, Petaling Jaya

Jawapan saya:
Tujuan saya mengadakan kelas jahitan ialah untuk membantu kaum wanita pandai menjahit. Bila selalu menjahit barulah datang kemahiran.

Pengalaman saya, hampir 95% peserta saya langsung tidak tahu menjahit (sebenarnya tidak pernah 'pegang' mesin...), tapi setelah diberi keyakinan akhirnya mereka boleh menjahit sepasanag baju kurung dengan baik. Cuma perlu lebih banyak latihan supaya jahitannya lebih kemas.

Tapi mereka telah memulakan langkah. Dan saya selalu berpesan supaya mereka terus menjahit, sekurang-kurangnya baju anak-anak sendiri. Alhamdulillah, khabar terbaru saya dengar ada jiran mereka dah minta mereka jahit baju kurung untuk anak-anak jiran mereka.

Walau bagaimanapun, untuk memudahkan pembelajaran dan menjimat masa (sebab kelas ini berbayar), saya amat galakkan bakal pelajar biasa-biasakan diri menjahit. Jahitlah secara jahit lurus dulu, untuk membiasakan pergerakan kaki dan tangan bermain mesin.