Memaparkan catatan dengan label Yuran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Yuran. Papar semua catatan

28 September 2010

Yuran mahal & Jenis Baju Kurung

Saya menerima emel yang agak menarik daripada pengunjung seperti berikut:

1. Saya berminat nak belajar menjahit baju kurung. Cuma saya nak sedikit kepastian, daripada survey saya di internet, kebanyakan yuran kursus jahit baju kurung kira-kira rm150, berbanding yuran puan kira-kira rm250. Mungkinkah kerana puan turut mengajar sekali jahitan kemasan seperti beading & mata lalat, manakala orang lain tidak mengajarnya? Apa kelebihan kursus puan?

2. Salam Puan, untuk kelas jahitan baju kurung, adakah puan mengajar semua jenis baju kurung (biasa, riau) atau cuma sejenis sahaja?

Jawapan saya:

1 Terima kasih kepada yang bertanya. Suka saya nyatakan bahawa harga yuran tidak sama antara seorang pengajar dengan pengajar yang lain. Setiap orang ada alasan tersendiri tentang harga yuran yang mereka tetapkan. Kerana itu saya tidak berani komen mengapa orang lain yurannya rendah dan saya mahal atau sebaliknya.

Sepuluh tahun lalu, sewaktu saya mula-mula mengadakan kelas jahitan dari rumah ke rumah, harga yurannya sangat rendah. Dan ia naik sedikit demi sedikit selaras dengan kemahiran dan teknik pengajaran yang saya lakukan, hinggalah kepada harga yang ada sekarang.

Apa yang penting saya lebih suka mengajar bagaimana cara-cara mudah untuk menjahit berdasarkan ilmu yang saya pelajari daripada pelbagai sumber dan pengalaman yang saya lalui sepanjang 20 tahun berkecimpung dalambidang jahitan.

Saya mengajar kaedah potongan pakaian cara butik yang mudah difahami dan diikuti. Memang adat belajar, ada peserta yang cepat belajar dan ada yang lambat.

Bagi peserta yang cepat, saya ajar cara cepat dan dapat belajar lebih banyak.

Manakala yang agak lambat, saya ajar cara-cara mudah mengira dan mengambil ukuran hingga mereka juga mampu menyiapkan sepasang pakaian dengan sempurna.

Sehingga hari ini, alhamdulillah, kesemua peserta saya dapat menyiapkan kerja yang diberi dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Berkenaan dengan jahitan kemasan seperti beading dan mata lalat, memang saya ada mengajarnya. Walau bagaimanapun, ada sebilangan kecil peserta saya yang tidak pernah belajar menjahit dan agak ‘takut-takut’ mencuba teknik jahitan, saya tidak memaksa mereka mempelajarinya.

Cukup dengan mempelajari jahitan baju kurung yang asas. Itu keutamaan saya. Asalkan mereka tahu dan mampu menyiapkan sepasang baju kurung biasa yang cantik dan kemas. Ia amat menggembirakan saya.

Sepanjang kursus yang saya adakan, ramai yang telah mampu menjahit pakaian sendiri dan anak-anak. Bahkan ramai juga yang telah menerima tempahan jahitan daripada orang lain.

2 Kursus menjahit baju kurung yang saya ajar ialah baju kurung biasa (tradisional). Biasanya daripada ilmu yang saya ajar, disertaikan dengan kesungguhan mereka mempelajari, mencuba dan membiasakan diri dengan jahitan, insyallah mudah bagi mereka mencuba untuk menjahit baju riau dan sebagainya.


06 Februari 2010

SOALAN LAZIM

Saya sering ditanya soalan-soalan berikut oleh peserta yang baru pertama kali hendak belajar menjahit. Antaranya...

SOALAN : Bagaimanakah kaedah puan mengajar?

JAWAPAN : Saya mengajar teknik mudah untuk menjahit sepasang baju. Bagaimana teknik membuat ukuran, teknik memotong, menjahit, cara mudah membuat dan menjahit leher, dan sebagainya.

Saya akan ajar cara paling mudah untuk menjahit sepasang baju mengikut tahap dan keupayaan peserta. Kerana saya sedar ada antara peserta langsung tidak pernah “pegang” mesin jahit pun sebelum ini. Dan cara saya ini diakui mudah dan praktikal oleh beberapa peserta yang pernah mengikuti kelas jahitan lain sebelum belajar dengan saya.

Sebenarnya, apa yang saya ajar kepada peserta ialah cara-cara bagaimana saya menyiapkan tempahan pakaian daripada pelanggan saya setiap hari. Saya gabungkan ilmu jahitan yang saya pernah belajar dengan beberapa institusi swasta dan pengalaman saya menjahit selama lebih 20 tahun. Ini bermakna saya ajar apa yang saya buat.

Bagi memudahkan peserta belajar, saya tetapkan jumlah peserta bagi setiap sessi ialah antara seorang hingga tiga orang sahaja. Jumlah yang kecil ini memudahkan saya memberi tunjukajar secara terus (hands-on) kepada peserta. Mereka juga akan dapat siapkan kerja di bawah pengawasan terus daripada saya.

SOALAN : Saya belum pernah belajar menjahit. Pegang mesin pun tak tahu. Bolehkah saya pandai dalam masa dua hari?

JAWAPAN : Pengalaman saya, kebanyakan peserta yang belajar dengan saya, ada yang tidak pernah belajar menjahit. Dalam erti kata mudah, tidak pernah pegang mesin!

Alhamdulillah, berkat ketekunan mereka, akhirnya kesemua mereka kini sudah mampu menjahit baju sendiri. Malah ramai juga yang sudah menerima tempahan jahitan daripada jiran atau kawan-kawan.

Seorang peserta saya dari Langkawi yang ambil pakej baju Melayu, kini mampu menerima tempahan menjahit baju Melayu di sana.

SOALAN : Saya tiada mesin jahit. Perlukan saya membelinya?

JAWAPAN : Saya selalu nasihatkan bakal peserta agar membeli mesin sendiri sebelum mula belajar.

Tujuannya supaya peserta dapat membiasakan diri dengan mesin jahit. Sebagai permulaan, ambil perca kain yang tidak dipakai dan buatlah jahitan lurus dulu. Lakukannya setiap kali anda ada kelapangan masa. Tujuannya supaya peserta dapat memahirkan pergerakan dan kawalan tangan semasa menggunakan mesin.

Bila kita selalu menjahit lurus, insya-Allah kita akan mudah mengawal mesin ketika kita belajar menjahit sepasang baju kurung.

Sebelum beli mesin, ada baiknya kalau puan-puan dapat menelefon saya dahulu. Insyaallah, saya akan beri sedikit nasihat tentang mesin mana yang sesuai dibeli.

SOALAN : Bagaimana jadual kelas puan?

JAWAPAN : Jadual kelas saya ialah setiap pada hujung minggu iaitu hari Sabtu dan Ahad.

Ada peserta memilih setiap hari Sabtu selama dua kali berturut. Ada yang pilih hari Ahad. Malah ada juga yang pilih hari Sabtu dan Ahad sekaligus.

Biasanya kelas dimulakan pukul 10 pagi – 5 petang. Namun, adakalanya saya mula awal iaitu jam 9 pagi dan berakhir jam 6 petang. Ini bergantung kepada kesungguhan dan kesediaan peserta untuk belajar.

SOALAN : Berapa yuran?

JAWAPAN : Sejak akhir-akhir ini kebanyakan peserta memilih untuk belajar teknik menjahit baju kurung.

Yuran untuk kelas baju kurung selama dua hari ialah RM250 seorang.

Bagaimana pun, jika peserta ada membawa satu atau dua peserta lagi, peserta akan diberikan diskaun.

Saya juga mengenakan sedikit charge kenderaan bagi mana-mana lokasi melebihi 50 km jaraknya dari rumah saya. Kadar bayarannya akan ditentukan semasa perbincangan dengan peserta. Biasanya tidak melebihi RM30 sahaja bagi dua kali kelas.

SOALAN : Jika kelas diadakan di rumah saya, perlukan saya menyediakan makan tengahari untuk semua peserta?

JAWAPAN : Saya tidak menetapkan peserta tuan rumah untuk menyediakan makanan, sama ada untuk saya atau peserta lain.

Selalunya saya akan bawa bekal sendiri untuk sarapan dan makan tengahari.

Pada peringkat awal saya membuka kelas begini dulu, saya akan keluar antara jam 1 – 2 petang ke surau atau masjid berdekatan untuk rehat, makan dan solat Zuhur. Namun, cara ini banyak memakan masa saya. Ada kalanya lebih sejam.

Jadi saya ambil keputusan untuk berehat sekejap pada waktu tengahari, sambil makan dan solat Zuhur di rumah peserta sahaja. Cara ini amat menjimatkan masa.

14 Februari 2008

Kelas Jahitan Asas Yang Eksklusif

Sebagai membantu kaum wanita khususnya kaum ibu yang ingin berkecimpung dalam dunia jahitan, saya akan mengadakan siri KELAS JAHITAN ASAS EKSKLUSIF khusus untuk mereka, asalkan mereka berminat dan mempunyai sedikit kemahiran mengendalikan mesin jahit sama ada mesin jahit elektrik atau biasa.

Apa yang dimaksudkan EKSKLUSIF itu?
1. Eksklusif kerana kelas dihadkan kepada 5 peserta sahaja bagi setiap kumpulan selama 2 hari (sabtu dan ahad).
2. Pengambilan peserta dalam bilangan yang kecil ini bagi memudahkan tumpuan diberikan kepada setiap peserta.
3. Kami mengajar cara mengukur dan memotong kain secara mudah dan cepat.

Sehubungan itu, jika anda berminat atau memerlukan penerangan lanjut, sila emel kepada
tikfashion@yahoo.com dengan segera. Nyatakan nama, alamat, no telefon dan kemahiran menjahit yang dimiliki bagi memudahkan saya menyusun kelas mengikut waktu / hari yang bersesuaian.

KELAS JAHITAN
* Kelas Jahitan Baju Kurung (potongan terkini). BONUS - cara menjahit kemasan leher iaitu jahit mata lalat dan jahit labuci pada lengan baju.
* Kelas Jahitan Baju Kebaya Moden
* Kelas Jahitan Baju Melayu

OBJEKTIF
1 Peserta mendapat pengetahuan asas kaedah:-
* mengambil ukuran badan
* merajah dasar pakaian
* memotong
* menjahit pakaian dengan kemas

2 Memahirkan diri untuk membuat pakaian sendiri dan keluarga hingga mampu mengambil tempahan jahitan untuk menambah ekonomi keluarga.

KELAB JAHITAN TIKFASHION
Setiap peserta akan didaftarkan secara otomatik sebagai ahli Kelab Jahitan Tikfashion.

KELEBIHAN
Kelebihan menjadi ahli kelab:
1. Tiada yuran pendaftaran/ tahunan dikenakan
2. Khidmat nasihat jahitan yang berterusan
3. Diskaun 10% apabila mendaftar kelas seterusnya
4. Perjumpaan tahunan - rehlah, berkenalan dan perbincangan.