21 April 2010

Belajar Jahit dan Masak

Orang-orang tua dulu selalu ingatkan anak-anak dara mereka supaya belajar menjahit dan memasak.

Jahit dan masak mesti tahu. Terutama kaum wanita, walaupun kita ada profesyen sendiri. Ia perkara asas. Ia berkaitan pakaian dan makan minum keluarga.

Hikmahnya jika tahu menjahit ialah setidak-tidaknya kalau ada pakaian koyak, kita boleh jahit sendiri. Tak perlu hantar kedai atau upah orang lain jahit.

Manakala jika pandai memasak pula, kita boleh masak apa saja makanan yang ingin dirasa oleh anak atau suami. Manakala masakannya pula lebih terjamin kesuciannya.

Hikmahnya lagi, bagi wanita yang berkerjaya dan sibuk, kemahiran menjahit dan memasak ini bukan saja boleh dijadikan hobi masa cuti, malah boleh melapangkan fikiran kita (release tension) daripada terlalu tertumpu kepada tugasan harian di pejabat.

Kedua-dua kemahiran ini juga, jika kena gayanya boleh menambah pendapatan bulanan keluarga.

Contoh yang saya suka sebut ialah perihal adik perempuan saya seorang guru siswazah yang selalu mendapat tempahan menjahit langsir daripada jiran-jirannya. Walaupun kerja samping ini dilakukannya pada hari cuti atau hujung minggu, tapi hasilnya lumayan...

Seorang jiran saya yang saya panggil Kak Zah, seorang pegawai tinggi di sebuah kementerian, pandai memasak biskut. Beliau yang akan pencen tidak lama lagi pernah memberitahu saya yang beliau akan mengembangkan 'perniagaan' membekal biskut dari rumah bersama anak perempuannya. Setidak-tidaknya tidaklah hari-hari pencennya berlalu begitu saja.

Oleh itu, ambillah "masa" anda untuk mengikuti kelas masak atau jahitan yang banyak dianjurkan pelbagai pihak berhampiran dengan kediaman anda. Pasti tidak rugi!

17 April 2010

Silap Pasang Benang

Puan Yus seorang peserta dari Manjalara meminta nasihat untuk membeli mesin jahit.

Beberapa hari sebelum beliau memulakan kelas, beliau menelefon untuk menangguhkan kelas. Kerana katanya mesinnya ada masalah.

“Kita mulakan kelas seperti dirancang. Mana tahu saya dapat bantu tengok-tengokkan mesin tu,” balas saya. Saya juga bawa mesin dari rumah sebagai persediaan mesin ganti.

“Alhamdulillah, dah ok kak. Jiran saya yang baiki,” ujarnya sewaktu menyambut saya.

“Apa masalah mesin tu?” tanya saya.

“Silap pasang benang je,” katanya gelak kecil.

Iya, walaupun itu masalah kecil, tapi sepatutnya si penjual menerangkan dengan jelas cara-cara memasang benang, cara bersih mesin dan lain-lain lagi.

Saya kagum dengan Puan Yus. Walaupun baru pertama kali pegang mesin jahit (belajar / berlatih jahit lurus pun hanya pada pagi pertama kelas), tapi telah berjaya menyiapkan sepasang baju kurung yang cantik dalam masa dua hari belajar! Alhamdulillah.



14 April 2010

Ingin Belajar Jahit Baju Melayu


“Assalamualaikum kak. Dah tukar no fon ke?” tegur satu suara. Saya masih cam suaranya. Beliau peserta saya dari Jalan Lembah Pantai. Sebelum ni beliau belajar menjahit baju kurung.

“Aa, iya. Line fon Digi akak susah nak dapat kat rumah akak ni. Kalau nak cakap, kena keluar rumah, baru ada line. Ulu benar kawasan rumah akak ni, ” cakap saya tanpa segan silu sambil ketawa kecil.

“Iya ke? Nasib baik saya teringat kepada blog kakak. Ni yang dapat fon akak ni. Sebenarnya saya nak belajar menjahit baju Melayu,” katanya sambil mengatakan cara saya mengajar sesuai untuknya.

“Insyallah, tetapkan tarikh. Nanti saya datang ke sana,” ujar saya.

Kepada Puan Maria, saya minta maaf. Rasanya macam saya dah sms no fon baru ni (celcom) kepada semua peserta termasuk beliau. Tak sangka pulak ada yang termiss...

13 April 2010

Jahitan Langsir & Bisnes Internet


Beberapa minggu ni, hujung minggu saya agak sibuk kerana berulang alik antara rumah – Gombak – Tasik Puteri dan Kuala Selangor.

Saya ke Gombak kerana mengajar peserta saya Puan Aida belajar menjahit langsir. Ia sebagai persediaan beliau mencari kemahiran dan boleh menjahit langsir untuk rumah baru beliau di Shah Alam kelak. Nati bila rumah barunya siap, saya teringin nak melawat... nak tengok rupa langsir yang awak jahit sendiri kat rumah baru tu...

Saya ke Tasik Puteri keesokannya kerana mengajar peserta saya Puan Anis yang mengambil pakej jahitan asas baju kurung. Lepas ni katanya nak belajar pula jahit baju pyjamas, dan lain-lain pakej, termasuk pakej yang sebenarnya di luar pakej yang saya sediakan.

“Macam-macam benda saya nak belajar dengan akak,” ujarnya.

“Apasal tak beli je barang-barang tu?” soal saya.

“Saya ada perancangan nak bisnes melalui internet,” ujarnya yang juga seorang pakar komputer. Saya begitu kagum dengan perancangannya yang jauh itu.

Manakala saya ke Kuala Selangor kerana jemput dan hantar anak bongsu ke sekolah berasramanya. Anak bongsulah katakan....

06 Februari 2010

SOALAN LAZIM

Saya sering ditanya soalan-soalan berikut oleh peserta yang baru pertama kali hendak belajar menjahit. Antaranya...

SOALAN : Bagaimanakah kaedah puan mengajar?

JAWAPAN : Saya mengajar teknik mudah untuk menjahit sepasang baju. Bagaimana teknik membuat ukuran, teknik memotong, menjahit, cara mudah membuat dan menjahit leher, dan sebagainya.

Saya akan ajar cara paling mudah untuk menjahit sepasang baju mengikut tahap dan keupayaan peserta. Kerana saya sedar ada antara peserta langsung tidak pernah “pegang” mesin jahit pun sebelum ini. Dan cara saya ini diakui mudah dan praktikal oleh beberapa peserta yang pernah mengikuti kelas jahitan lain sebelum belajar dengan saya.

Sebenarnya, apa yang saya ajar kepada peserta ialah cara-cara bagaimana saya menyiapkan tempahan pakaian daripada pelanggan saya setiap hari. Saya gabungkan ilmu jahitan yang saya pernah belajar dengan beberapa institusi swasta dan pengalaman saya menjahit selama lebih 20 tahun. Ini bermakna saya ajar apa yang saya buat.

Bagi memudahkan peserta belajar, saya tetapkan jumlah peserta bagi setiap sessi ialah antara seorang hingga tiga orang sahaja. Jumlah yang kecil ini memudahkan saya memberi tunjukajar secara terus (hands-on) kepada peserta. Mereka juga akan dapat siapkan kerja di bawah pengawasan terus daripada saya.

SOALAN : Saya belum pernah belajar menjahit. Pegang mesin pun tak tahu. Bolehkah saya pandai dalam masa dua hari?

JAWAPAN : Pengalaman saya, kebanyakan peserta yang belajar dengan saya, ada yang tidak pernah belajar menjahit. Dalam erti kata mudah, tidak pernah pegang mesin!

Alhamdulillah, berkat ketekunan mereka, akhirnya kesemua mereka kini sudah mampu menjahit baju sendiri. Malah ramai juga yang sudah menerima tempahan jahitan daripada jiran atau kawan-kawan.

Seorang peserta saya dari Langkawi yang ambil pakej baju Melayu, kini mampu menerima tempahan menjahit baju Melayu di sana.

SOALAN : Saya tiada mesin jahit. Perlukan saya membelinya?

JAWAPAN : Saya selalu nasihatkan bakal peserta agar membeli mesin sendiri sebelum mula belajar.

Tujuannya supaya peserta dapat membiasakan diri dengan mesin jahit. Sebagai permulaan, ambil perca kain yang tidak dipakai dan buatlah jahitan lurus dulu. Lakukannya setiap kali anda ada kelapangan masa. Tujuannya supaya peserta dapat memahirkan pergerakan dan kawalan tangan semasa menggunakan mesin.

Bila kita selalu menjahit lurus, insya-Allah kita akan mudah mengawal mesin ketika kita belajar menjahit sepasang baju kurung.

Sebelum beli mesin, ada baiknya kalau puan-puan dapat menelefon saya dahulu. Insyaallah, saya akan beri sedikit nasihat tentang mesin mana yang sesuai dibeli.

SOALAN : Bagaimana jadual kelas puan?

JAWAPAN : Jadual kelas saya ialah setiap pada hujung minggu iaitu hari Sabtu dan Ahad.

Ada peserta memilih setiap hari Sabtu selama dua kali berturut. Ada yang pilih hari Ahad. Malah ada juga yang pilih hari Sabtu dan Ahad sekaligus.

Biasanya kelas dimulakan pukul 10 pagi – 5 petang. Namun, adakalanya saya mula awal iaitu jam 9 pagi dan berakhir jam 6 petang. Ini bergantung kepada kesungguhan dan kesediaan peserta untuk belajar.

SOALAN : Berapa yuran?

JAWAPAN : Sejak akhir-akhir ini kebanyakan peserta memilih untuk belajar teknik menjahit baju kurung.

Yuran untuk kelas baju kurung selama dua hari ialah RM250 seorang.

Bagaimana pun, jika peserta ada membawa satu atau dua peserta lagi, peserta akan diberikan diskaun.

Saya juga mengenakan sedikit charge kenderaan bagi mana-mana lokasi melebihi 50 km jaraknya dari rumah saya. Kadar bayarannya akan ditentukan semasa perbincangan dengan peserta. Biasanya tidak melebihi RM30 sahaja bagi dua kali kelas.

SOALAN : Jika kelas diadakan di rumah saya, perlukan saya menyediakan makan tengahari untuk semua peserta?

JAWAPAN : Saya tidak menetapkan peserta tuan rumah untuk menyediakan makanan, sama ada untuk saya atau peserta lain.

Selalunya saya akan bawa bekal sendiri untuk sarapan dan makan tengahari.

Pada peringkat awal saya membuka kelas begini dulu, saya akan keluar antara jam 1 – 2 petang ke surau atau masjid berdekatan untuk rehat, makan dan solat Zuhur. Namun, cara ini banyak memakan masa saya. Ada kalanya lebih sejam.

Jadi saya ambil keputusan untuk berehat sekejap pada waktu tengahari, sambil makan dan solat Zuhur di rumah peserta sahaja. Cara ini amat menjimatkan masa.