18 Disember 2010

Langsir untuk rumah ibu

Alhamdulillah, sejak akhir-akhir ini ramai yang mengambil kursus asas jahitan langsir. Ramai lagi yang bertanya itu dan ini tentang kursus langsir ini.

"Sekarang upah tempah langsir pun mahal. Lebih mahal dari belajar dengan akak ni. Itu tak termasuk harga kainnya lagi," seorang peserta saya memberitahu sebab beliau ingin sangat belajar menjahit langsir.

"Suami galak saya belajar menjahit langsir. Banyak tempat beliau selidik, terutama website yang mengajar jahitan. Ada yang yurannya sama dengan akak tapi kursusnya sehari saja. Itu dah kira terlalu intensif," beritahu seorang peserta saya yang lain. "Orang baru belajar menjahit macam saya ni tak confident pulak nak ikut kursus seintensif itu."

"Setiap orang pengajar atau sekolah jahitan ada cara mengajarnya yang tersendiri. Cuma saya memilik mengadakan kelas selama 3 hari untuk mengajar langsir ni kerana saya mahu setiap peserta saya betul-betul faham kesemua 12 paten langsir yang saya ajar dan boleh buat sendiri selepas mempelajarinya," balas saya.

"Insya-Allah, kira-kira dua atau tiga bulan lagi saya nak ambil pula kursus menjahit baju kurung dengan akak," katanya.

"Mengapa kena tunggu dua atau tiga bulan?" soal saya ingin tahu.

"Sebab saya nak siapkan dulu langsir-langsir baru rumah saya ni. Bila akak datang sekali lagi, kesemua langsir rumah saya ni langsir baru yang saya jahit sendiri," jawabnya.

"Alhamdulillah," balas saya tersenyum.

"Lepas langsir baru rumah saya ni siap, saya nak jahit pula langsir baru untuk rumah mak," katanya lagi penuh ceria.

"Alhamdulillah..." kata saya bertambah panjang.

Saya benar-benar terharu kerana ilmu yang saya ada telah membantu seorang anak untuk berbudi kepada ibunya.

Pesan saya, carilah keberkatan hidup di dunia ini melalui kegembiraan yang mampu kita lakukan untuk kedua orang tua kita, selagi mereka masih ada.


Untuk menyertai bengkel, sila baca entri terbaru (klik sini) kami.

Harap maklum.


25 November 2010

Anakku belajar menjahit



Cuti hujung tahun kali ini agak malang bagi anak-anak saya kerana jadual mengajar ibu mereka agak padat. Kelas mengajar menjahit ada pada setiap hujung minggu, hingga hujung tahun. Dan jadual mengajar bersambung pada bulan Januari tahun depan juga. Insyallah, saya akan cari juga masa yang sesuai untuk bawa mereka bercuti.

Kebetulan pada tahun ini, ramai sungguh yang menghubungi saya nak belajar menjahit, sejak bulan puasa yang lalu, membawa ke musim cuti sekolah ini. Jadi kenalah saya bertungkus-lumus sikit.

Sebenarnya, dah memang niat saya sejak awal-awal saya merancang mengadakan kelas jahitan beberapa tahun lalu, iaitu insyaallah segala ilmu jahitan dan pengalaman yang saya ada sejak lebih 20 tahun lalu akan saya tumpahkan kepada setiap peserta yang belajar dengan saya.

Saya mahu mereka mahir menjahit dalam masa yang lebih cepat dan singkat daripada saya. Dengan syarat ada minat dan rajin berusaha.

Alhamdulillah, niat saya dah mula menampakkan hasil yang memberangsangkan.

Berbalik kisah anak saya tadi, sementara janji untuk bawa mereka bercuti belum dapat dipenuhi, saya cuba juga isi masa mereka dengan aktiviti bermanfaat.

Saya cuba pujuk anak bongsu perempuan saya yang saya panggil “Adik” belajar menjahit. Pada awalnya dia tak minat kerana katanya cita-citanya lain, nak jadi doktor. Tapi setelah saya terangkan keistimewaan menjahit, bagusnya kalau seorang doktor juga tahu menjahit baju sendiri, barulah hatinya terbuka untuk belajar.

Perkara yang sama pernah saya lakukan pada anak lelaki ketiga saya semasa dia bercuti selepas SPM tahun lalu. Jahitannya agak kemas tapi malangnya pelajarannya tak habis…

Nak tahu kenapa tak habis?

Kerana kebetulan semasa saya mengajarnya menjahit, adiknya iaitu anak lelaki saya yang keempat yang baru balik dari sekolah telah mengusiknya, “Eeee, belajar menjahit? Macam pompuan laaa.”

Apa lagi, si abang telah ‘mengamuk’ sakan. Terus tak nak belajar lagi.

Hai, macam-macam kerenah anak-anak...


LANGKAH 1: Terangkan dulu nota pelajaran. Peralatan yang diperlukan untuk belajar menjahit baju kurung dan cara ambil ukuran

LANGKAH 2: Terlebih dahulu draw rajah baju atas kertas minyak

LANGKAH 3: Sehelai kain yang jadi ‘mangsa’ jahitan pusing-pusing dan 'corner baring' Adik bagi memahirkan tangan dan kaki kontrol mesin.

HASILNYA.... “Ummi, sebelum balik asrama nanti, adik nak jahit baju sekolah sendiri,” katanya kepada saya. Alhamdulillah, ilmu saya turut dapat difahami oleh anak saya yang baru Tingkatan 1.

14 November 2010

Tahu menjahit itu satu keistimewaan


Suatu malam saya terima satu sms berbunyi, “Terimakasih acik Yati sebab ajar Aini jahit. Ilmu yang acik Yati bagi akan Aini gunakan sebaik yang mungkin.”

Oh, ini sms daripada Aini, peserta kursus menjahit baju kurung dari Bandar Sunway. Saya yang memintanya memanggil saya “makcik” kerana usianya yang sebaya dengan anak sulung saya. Beliau seorang yang cekap dan mudah menerima pengajaran.

Aini dan suaminya, kedua-dua mereka adalah siswazah yang cuba berdikari dengan membuka perniagaan sendiri.

Tanpa banyak berfikir, saya balas smsnya, “TQ. Keep on trying n always practice. Mudah-mudahan Aini berjaya.”

Saya begitu bangga dengan kesungguhan mereka berdua. Saya doakan mudah-mudahan satu hari nanti mereka akan jadi usahawan yang berjaya, Insyallah.

Selain Aini, ramai lagi peserta saya yang selalu berhubung dengan saya bertanyakan itu dan ini, termasuk berapa upah jahitan yang patut mereka kenakan bila ada jiran-jiran ingin membuat tempahan, Ada yang menelefon, ada juga yang datang ke rumah saya untuk bertanya sambil berziarah. Terima kasih atas ingatan.

Ada juga yang saya sengaja telefon atau sms untuk bertanyakan perkembangan semasa mereka, terutama sekali tentang amali jahitan. Manakala mana-mana yang masih belum saya hubungi, saya benar-benar berharap mereka selalu mempraktikkan ilmu jahitan yang telah mereka pelajari, seperti harapan saya kepada Aini tadi. Makin lama kita menjahit, kita akan semakin mahir.

Sebenarnya bukan semua orang suka menjahit. Ada orang ada banyak masa. Tapi tak suka menjahit walaupun sekadar jahit yang mudah-mudah. Sebab baginya menjahit itu susah dan leceh. Lebih senang upah orang atau beli di kedai.

Bagi saya, orang yang ada minat menjahit, walaupun sikit-sikit, dan mahu mempelajarinya sudah membuka satu ruang dirinya ke arah memperolehi suatu keistimewaan. Keistimewaan menjahit baju sendiri, lebih-lebih lagi kalau mampu memjahit baju anak-anak, baju Melayu suami dan anak-anak serta mampu menjahit langsir sendiri.

Bila mampu menjahit sendiri, kita mampu menukarnya pada setiap tahun, atau ikut kemahuan kita. Sebabnya kos untuk mengupah orang dah tidak ada lagi. Manakala kos membeli kain amat murah.

Alhamdulillah, hari ini peserta saya ada di merata tempat di sekitar Lembah Klang ini. Antaranya di Petaling Jaya, Kota Damansara, Bandar Utama, Subang Jaya, Bandar Sunway, Puchong, Cheras, Putra Perdana, BB Bangi, Segambut, Lembah Pantai, Bandar Menjalara, Medan Putra, Selayang, Gombak, Shah Alam, Subang Jaya, Bukit Jelutong, Glenmarie, Kuala Selangor, Rawang, Tasik Puteri, Port Klang, dan lain-lain.

Selain kenalan saya bertambah ramai dari hari ke hari, saya juga dapat mengenali banyak kawasan perumahan yang selama ini tidak saya ketahui langsung.

01 November 2010

Beranikan diri anda memegang gunting!


Ada orang mampu melakukan tugasan yang sukar dan berat, memandu kereta di jalan yang paling sibuk, menyiapkan tesis pengajian yang tebal, memasak resepi makanan barat yang rumit dan sebag ainya, tapi kurang berani menjahit sepasang baju kurung.

Selain kerana tidak tahu, juga kerana tidak biasa. Tidak biasa kerana tidak belajar.

Bukan kerana tidak minat menjahit. Minat boleh datang jika ia dipupuk. Sama seperti memandu. Cuba tanya berapa ramai wanita yang minat memandu? Bila hari-hari kena memandu ke pejabat, datang kemahiran memandu. Bila sudah mahir, datanglah keberanian untuk memandu laju!

Begitu juga jahitan. Bila sudah belajar, kita akan tahu teknik mengukur, memotong dan menjahit. Dari situlah akan timbul keberanian. Berani mengukur, memotong dan menjahit sepasang baju kurung, baju Melayu atau langsir beropol-ropol.

Pokok pangkalnya ialah keberanian. Keberanian yang lahir hasil tahu dan biasa melakukannya.

Saya akui, kebolehan peserta menyiapkan sepasang baju kurung dalam masa dua hari atau menyiapkan pelbagai paten langsir dalam masa tiga hari seperti yang saya tetapkan amat menggembirakan saya.

Tapi yang lebih utama dan penting daripada itu ialah saya ingin tanamkan di hati setiap peserta ialah BERANI – keberanian memotong sehelai kain untuk dijadikan sepasang baju kurung.

“Bab potong nilah yang saya kurang berani sikit. Takut silap,” itu antara kata-kata peserta saya pada peringkat awal kelas.

Jika tidak ada keberanian, dibimbangi ilmu yang dipelajari takut untuk dipraktikkan. Akhirnya ia hilang begitu saja. Sayang sekali!

Sebab itu saya sangat teruja bila ada antara peserta yang menunjukkan sehelai kain yang telah dipotong sendiri pada hari kedua pembelajaran, selang seminggu.

“Takut lupa, jadi saya beli kain baru dan potong sendiri. Minta puan semak potongannya sebelum saya jahit,” pintanya kepada saya.

Rupa-rupanya, sementara menunggu kelas kedua pada minggu berikutnya, beliau telah mempraktikkan apa yang telah dipelajarinya pada hari kelas pertama. Jadi, dalam masa dua hari kursus, beliau berjaya menyiapkan dua pasang baju kurung!

Alhamdulillah, peserta ini telah berjaya mendapat tempahan daripada saudara-mara dan jiran-jirannya. Beliau juga kemudiannya mengikuti kelas menjahit baju kebaya, dan insyallah sedang merancang untuk mengikuti kelas baju Melayu.

12 Oktober 2010

Seronoknya Belajar Jahit Langsir


Puan Ila dari Kota Damansara adalah peserta saya yang begitu teruja dengan kaedah mudah bagaimana untuk menjahit langsir yang saya ajar.

Beliau sering berkata cara saya mengajar tak sama dengan apa yang pernah dipelajari. Bila saya tanya apa yang tak sama, beliau jawab cara saya lebih mudah. Malah apa yang begitu sukar difahami semasa beliau belajar dulu, kini telah dapat difahami dengan mudah.

Saya jawab, setiap orang guru ada cara dan kaedahnya yang tersendiri untuk mengajar. Dulu pun saya belajar kaedah yang sama, ada kaedah yang mudah dan ada yang susah. Belajar step by step. Memang begitulah cara belajarnya.

Walau bagaimanapun, saya lebih suka memudahkan kaedah mengajar kepada peserta saya berdasarkan ilmu yang pernah saya pelajari, yang kemudiannya saya olah semula berdasarkan pengalaman yang saya ada sejak saya belajar menjahit dulu.

Dulu, kira-kira 30 tahun lalu, masa saya masih bersekolah menengah lagi, saya dan adik-adik suka belajar menjahit langsir di kedai jahitan milik jiran saya di Kajang. Sambil belajar menjahit, dapat pula upah. Itu yang seronoknya.

Begitulah rutin kami setiap kali cuti hujung tahun atau semasa tunggu keputusan SPM. Alhamdulillah jiran saya itu jenis orang yang tak kedekut ilmu. Dari ilmu dan pengalaman beliaulah saya cuba pula tumpahkan kepada peserta saya pada hari ini.

Berbalik kepada cara kelas saya, saya perlu habiskan kursus jahitan langsir kepada setiap peserta dalam masa 3 hari sahaja! Itulah limit masa yang saya tetapkan. Dan inilah sebabnya saya namakan kursus saya sebagai KURSUS INTENSIF JAHITAN - Mudah, Cepat & Berkesan.

Oleh kerana itu, apa yang menjadi keutamaan bagi saya ialah peserta saya MESTI dapat mempelajari ilmu yang pernah saya ikuti selama beberapa minggu HANYA dalam masa 3 hari saja. Alhamdulillah, sehingga hari ini, kesemua peserta yang ambil kelas langsir saya dapat mengikuti pelajaran dengan baik.

Jika mereka rajin mempraktik apa yang saya ajar, insyallah, jahitan mereka bukan saja akan bertambah kemas, bahkan saya tidak ragu-ragu mereka akan mendapat tempahan menjahit langsir daripada orang lain juga.

Mudah-mudahan Allah SWT pelihara dan permudahkan segala usaha dan bakti saya ini.

Berikut adalah sebahagian contoh hasil kerja Puan Ila.