12 Jun 2011
Mengapa Anda Ingin Belajar Menjahit?
Secara umumnya, daripada sesi sembang-sembang saya bersama para peserta, saya dapat simpulkan tujuan mereka belajar menjahit kepada tiga sebab.
1 Hobi
Mereka belajar kerana minat dan ingin menjadikannya sebagai hobi atau mengisi masa lapang. Kebanyakan mereka adalah yang sudah ada kerjaya yang baik atau yang sedang belajar seperti dua peserta terbaru saya yang kini sedang mengikuti pengajian Farmasi di peringkat Sarjana.
2 Keperluan
Kebanyakan mereka, walaupun sudah ada kerjaya tapi turut belajar kerana ingin menyediakan keperluan pakaian keluarga dengan sebaik mungkin.
Bayangkan bagi mereka yang ada empat anak perempuan, dan termasuk diri sendiri, dah jadi lima orang semuanya; jika setiap orang perlu sepasang baju kurung untuk menyambut hari raya yang bakal menjelma beberapa bulan lagi, berapa banyak perbelanjaan yang perlu disediakan?
Jika sepasang baju, perbelanjaannya RM50 (kain + upah jahitan), maknanya sekurang-kurangnya kos untuk lima pasang baju kurung untuk menyambut raya kali ini adalah RM250!
Dan dengan jumlah RM250 sahaja sebagai pelaburan awal (yuran belajar menjahit baju kurung), insya-Allah kita akan dapat menjahit baju kita sendiri dan baju kurung anak-anak sebanyak dan sesuka hati kita!
3 Kerjaya
Ada juga yang belajar menjahit sebagai persediaan untuk menjadikan bidang jahitan sebagai kerjaya baru. Ini yang paling ramai.
Kebanyakan mereka adalah suri rumah, namun ramai juga yang sudah ada kerjaya baik tapi bercita-cita sama ada untuk melakukan dua kerja dalam satu masa atau ingin menukar kerjaya ke bidang perniagaan. Syabas!
Untuk mereka semua, saya amat menggalakkan supaya mereka menambah kemahiran dengan sentiasa mencuba stail jahitan yang pelbagai. Ia boleh diperolehi dengan cara sentiasa menjahit atau menambah ilmu jahitan dengan sentiasa menghadiri kursus jahitan.
Saya sendiri mengikuti kelas jahitan secara formal, setelah beberapa tahun terlibat dalam dunia jahitan. Pengalaman saya menjahit bertahun-tahun diperkemaskan lagi dengan padanan silibus ilmu jahitan yang saya pelajari. Manakala ilmu jahitan yang dipelajari, saya permudahkan lagi dengan pengalaman menjahit yang saya ada.
Hasilnya, pengalaman menjahit yang lama dan ilmu jahitan yang dipermudahkan itulah saya adun dan susun semula, dengan harapan setiap peserta saya akan dapat “khatam” kursus dua hari dengan jayanya.
Walau apapun tujuan anda belajar, yang penting belajarlah bersungguh-sungguh dan sepenuh hati. Insya-Allah, yang susah akan jadi senang jika kita ada kemahuan yang kuat.
Luangkan masa yang ada pada hari ini untuk belajar demi mencari keuntungan pada hari esok.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan