14 November 2010

Tahu menjahit itu satu keistimewaan


Suatu malam saya terima satu sms berbunyi, “Terimakasih acik Yati sebab ajar Aini jahit. Ilmu yang acik Yati bagi akan Aini gunakan sebaik yang mungkin.”

Oh, ini sms daripada Aini, peserta kursus menjahit baju kurung dari Bandar Sunway. Saya yang memintanya memanggil saya “makcik” kerana usianya yang sebaya dengan anak sulung saya. Beliau seorang yang cekap dan mudah menerima pengajaran.

Aini dan suaminya, kedua-dua mereka adalah siswazah yang cuba berdikari dengan membuka perniagaan sendiri.

Tanpa banyak berfikir, saya balas smsnya, “TQ. Keep on trying n always practice. Mudah-mudahan Aini berjaya.”

Saya begitu bangga dengan kesungguhan mereka berdua. Saya doakan mudah-mudahan satu hari nanti mereka akan jadi usahawan yang berjaya, Insyallah.

Selain Aini, ramai lagi peserta saya yang selalu berhubung dengan saya bertanyakan itu dan ini, termasuk berapa upah jahitan yang patut mereka kenakan bila ada jiran-jiran ingin membuat tempahan, Ada yang menelefon, ada juga yang datang ke rumah saya untuk bertanya sambil berziarah. Terima kasih atas ingatan.

Ada juga yang saya sengaja telefon atau sms untuk bertanyakan perkembangan semasa mereka, terutama sekali tentang amali jahitan. Manakala mana-mana yang masih belum saya hubungi, saya benar-benar berharap mereka selalu mempraktikkan ilmu jahitan yang telah mereka pelajari, seperti harapan saya kepada Aini tadi. Makin lama kita menjahit, kita akan semakin mahir.

Sebenarnya bukan semua orang suka menjahit. Ada orang ada banyak masa. Tapi tak suka menjahit walaupun sekadar jahit yang mudah-mudah. Sebab baginya menjahit itu susah dan leceh. Lebih senang upah orang atau beli di kedai.

Bagi saya, orang yang ada minat menjahit, walaupun sikit-sikit, dan mahu mempelajarinya sudah membuka satu ruang dirinya ke arah memperolehi suatu keistimewaan. Keistimewaan menjahit baju sendiri, lebih-lebih lagi kalau mampu memjahit baju anak-anak, baju Melayu suami dan anak-anak serta mampu menjahit langsir sendiri.

Bila mampu menjahit sendiri, kita mampu menukarnya pada setiap tahun, atau ikut kemahuan kita. Sebabnya kos untuk mengupah orang dah tidak ada lagi. Manakala kos membeli kain amat murah.

Alhamdulillah, hari ini peserta saya ada di merata tempat di sekitar Lembah Klang ini. Antaranya di Petaling Jaya, Kota Damansara, Bandar Utama, Subang Jaya, Bandar Sunway, Puchong, Cheras, Putra Perdana, BB Bangi, Segambut, Lembah Pantai, Bandar Menjalara, Medan Putra, Selayang, Gombak, Shah Alam, Subang Jaya, Bukit Jelutong, Glenmarie, Kuala Selangor, Rawang, Tasik Puteri, Port Klang, dan lain-lain.

Selain kenalan saya bertambah ramai dari hari ke hari, saya juga dapat mengenali banyak kawasan perumahan yang selama ini tidak saya ketahui langsung.

Tiada ulasan: