31 Oktober 2011

Blog Ini Telah Berpindah...

Bermula 1 November 2011, blog ni telah berpindah ke:  http://www.bengkeljahitan.com. Mohon berkunjung ke sana (klik foto di bawah) untuk mengetahui perkembangan terkini kami. Terima kasih atas kunjungan anda :)


24 Oktober 2011

Bengkel Jahitan Ke-11: Lelaki juga boleh belajar.

Abang ipar saya seorang tukang jahit yang agak dikenali ramai di Kota Bharu. Beliau amat mahir menjahit pakaian lelaki terutamanya baju Melayu, kemeja, kot dan sebagainya. Jahitannya amat kemas. Namun begitu saya tak pasti sama ada beliau pernah menjahit baju kurung atau tidak? Tapi saya yakin beliau tahu.

Sewaktu membuat tinjauan prospek kedai jahit di sekitar kawasan saya, saya pernah berkunjung ke sebuah kedai jahit di Sungai Buloh. Kebetuan ia terletak dalam laluan saya ke Kuala Lumpur. Ia milik tukang jahit lelaki dibantu seorang tukang jahit wanita.

Walaupun mungkin pakaian wanita dijahit oleh tukang jahit wanita, saya rasa tukang jahit lelaki itu tahu menjahitnya. Boleh dikatakan setiap kali saya lalui jalan tersebut, saya pasti menoleh ke arah kedai itu. Dan saya dapati kedai jahit itu makin maju dan berkembang.

Apa kaitannya entri bengkel kali ini dengan kedai dan tukang jahit lelaki di atas?

Ada. Sebab bengkel jahitan kali ini turut dihadiri oleh dua peserta lelaki. Mereka belajar menjahit kerana ingin mengajarnya semula kepada anak-anak, ingin mencari kemahiran tambahan selain yang dah dimiliki, selain mengisi masa lapang. Jahitan mereka agak baik, walaupun itulah kali pertama mereka menjahit.

Saksikan gelagat dan kesungguhan para peserta kali ini menimba ilmu jahitan...







Untuk menyertai bengkel, sila baca entri terbaru (klik sini) kami.

Harap maklum.

25 September 2011

Bengkel Jahitan Ke-10: Keseronokan bila baju siap...

"Alhamdulillah, dah siap baju saya. Bolehlah saya pakai ke pejabat minggu depan," ujar salah seorang peserta bengkel jahitan kali ke-10 ini, melonjak kegembiraan.

Saya tersenyum dan tumpang gembira. Begitu juga reaksi peserta lain tatkala melihat beliau menggayakan baju kurung yang baru siap dijahit.

Walhal, menurut peserta itu lagi, sebelum ini beliau hanya mampu menjahit lurus saja. Itu pun pernah juga beliau cuba-cuba menjahit seluar anaknya yang koyak. Entah di mana silapnya, lagi dijahit lagi bertambah koyaknya. Akhirnya seluar tersebut terpaksa dibuang begitu saja...

Alhamdulillah, hari ini beliau telah mampu menyiapkan sepasang baju kurung dengan baik. Harapan saya, mulai hari ini, beliau dan termasuk juga lain-lain peserta bengkel ini dan bengkel-bengkel sebelumnya, hendaklah terus mempraktis ilmu jahitan yang telah dipelajari ini.

Insyallah, lagi dipraktis, lagi banyak ilmu dan kemahiran yang akan anda perolehi.

Dan jika anda menemui masalah baru yang tidak dapat anda selesaikan, jangan bertangguh untuk menghubungi saya!

Berikut adalah suasana bengkel kali ini...



Untuk menyertai bengkel, sila baca entri terbaru (klik sini) kami.

Harap maklum.

18 September 2011

Bengkel Jahitan Ke-9: Yang pertama lepas raya...

Alhamdulillah, bengkel kali ke-9 ini selesai dengan jayanya.

Pada mulanya, saya agak khuatir untuk mengadakan bengkel sebegitu awal selepas raya... bimbang kekurangan peserta... maklumlah musim rumah terbuka di merata-rata.

Walau bagaimanapun, dek kerana ramai yang menghubungi, saya segera mengatur kelas. Mulai hujung minggu ini, minggu depan dan seterusnya... semata-mata kerana ingin berkongsi ilmu dengan para peserta.

Tambah membakar semangat, setelah saya menerima sms daripada salah seorang peserta yang pernah mengikuti bengkel saya:

"Saya telah berjaya menyiapkan 4 pasang baju kurung raya untuk anak saya dengan ilmu yang akak ajar. Baju raya saya belum siap, ada 2 pasang..."

Tahniah saya ucapkan. Tambah membanggakan saya, walaupun dalam kesibukan tugasan sebagai seorang jurutera, beliau berjaya juga "mencuri" masa untuk menjahit.

Berikut adalah suasana bengkel kali ini...





24 Ogos 2011

"Saya dah terima tempahan jahit langsir lurus!"

Puan Ila, salah seorang peserta saya yang pernah belajar menjahit baju kurung dengan saya satu ketika dulu.

Oleh kerana beliau tinggal di taman bersebelahan taman saya, jadi selalulah juga beliau berkunjung ke rumah saya. Ada kalanya beliau datang ziarah, ada kala kerana bertanyakan masalah jahitan.

Baru-baru ini beliau memberitahu saya, selain menerima beberapa tempahan jahitan baju kurung, ada juga jiran yang meminta beliau menjahit langsir lurus.

"Ada jiran minta saya jahit langsir untuk mereka. Tapi jenis langsir lurus saja."

"Alhamdulillah. Itu satu peluang yang baik. Bukan mudah nak dapat kepercayaan orang," jawab saya memberi semangat.

"Lepas ni saya nak belajar jahit langsir pula dengan akak," tambah beliau bersemangat.

Iya, tidak rugi belajar menjahit langsir. Tambahan pula menjahit langsir ni kerjanya "sikit dan cepat" tapi upahnya agak lumayan. Lebih-lebih lagi jika kita tinggal di sebuah taman perumahan. Banyak rumah yang perlukan khidmat jahitan langsir.

Apa yang penting, ialah kekalkan kepercayaan orang lain (pelanggan) kepada kita. Berilah khidmat yang sebaik mungkin. Insyallah, pelanggan kita akan turut menjadi "tukang" promosi bagi pihak kita.

Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, ilmu menjahit ini amat berguna. Bukan saja kepada mereka yang ingin benar-benar terjun ke bidang perniagaan tapi juga kepada sesiapa saja.

Adik perempuan saya seorang guru siswazah di salah sebuah sekolah berasrama di Kajang, pandai menjahit langsir. Beliau sering menerima tempahan menjahit langisr daripada kawan-kawan sekolahnya, dan kadang-kadang daripada sekolah beliau sendiri. Biasanya beliau melakukan kerja sampingan ini pada musim cuti atau hujung minggu.

Ia satu kerja sampingan yang memberi hasil yang sangat berbaloi.

Manakala salah seorang bekas peserta bengkel baju kurung saya yang lain pula memberitahu yang beliau cuba mengaplikasi ilmu menjahit baju kurung untuk menjahit baju Melayu suami beliau!

Oleh kerana cara belajar menjahit baju kurung dan baju Melayu yang berbeza, akhirnya beliau berhadapan dengan sedikit masalah - kekemasan di bahagian ketiak.

Walau bagaimanapun, saya ucapkan tahniah di atas keberanian kedua-dua peserta saya yang telah mencuba sesuatu yang baru, hasil mempelajari ilmu menjahit baju kurung.

Inilah yang saya mahu: latihan jahitan yang mereka terima telah menjadikan mereka berani mencuba. Cuma, mereka perlu sentiasa ada keinginan untuk belajar dan belajar lagi, bagi menambah ilmu dan kemahiran jahitan yang mereka sedia ada.