Bermula tahun 2002, saya telah membuka kelas jahitan di rumah. Alhamdulillah, dalam masa 5 tahun ini, seramai 15 orang wanita telah berjaya mengikutinya.
Daripada langsung tidak minat kerana merasakan menjahit itu amat susah, kini ada di antara mereka telah mampu menjahit baju keluarga dan diri sendiri. Malah lebih membanggakan saya, ada di antara mereka sudah berjaya mendapat "pulangan" hasil pelaburannya belajar dengan saya.
Antara yang agak menonjol ialah Ummu Habibah dari Langkawi telah menerima tempahan menjahit baju Melayu, Puan Fadilah (Bukit Beruntung) telah menjahit langsir rumah pengatin, begitu juga dengan Puan Rohaya juga telah menerima tempahan daripada jiran-jirannya.
Manakala Puan Hasnah (Gombak) pula telah mengorak langkah dengan mengadakan kelas jahitan untuk kenalannya.
Apa yang penting dan yang selalu saya ingatkan mereka, ialah LATIHAN YANG BERTERUSAN. Hanya dengan latihan sahaja, kemahiran dapat dipertingkatkan.
Untuk latihan menjahit, belilah kain yang murah2 atau kain mahal yang dijual murah2 yang saya namakan "kain kotak" kerana ia dilambak dalam kotak (iaitu kain-kain ela lebihan yang diletakkan dalam tong untuk tujuan jualan murah - asalnya kain ini ada kualiti dan berharga mahal).
Untuk belajar, jangan malu untuk beli kain yang terdapat dalam kotak2 ini. Kalau nasib kita baik, kita akan mendapat "kain kotak" yang cukup saiz untuk sepasang baju kurung kita. Pandai-pandailah pilih. Kain yang berkualiti dibeli dengan harga yang murah!
Ingat, orang hanya lihat pada kualiti baju yang kita pakai sahaja... dan kalau orang itu tanya "Berapa semeter?", janganlah jawab... cukup sekadar senyum sebagai jawapannya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan