20 Oktober 2009

Yakin Diri Boleh

Ramai yang hubungi saya sama ada untuk bertanya tentang kursus, bayaran dan jadual saya. Kebanyakannya dari sekitar Damansara, Gombak dan Kuala Selangor.

Untuk memudahkan anda menghubungi saya (kadang kala saya agak lewat balas emel), segala pertanyaan boleh sms terus ke talian baru saya iaitu 013 - 339 1361.

15 Ogos 2009

Patutkah saya terima tempahan?

Dua minggu lepas, saya ke Tasik Puteri kerana mengajar Puan Ruzi. Beliau seorang suri rumah yang baru berhenti kerja dengan sebuah syarikat swasta. Beliau ambil pakej baju kurung.

Alhamdulillah pada hari kedua / akhir kursus dua hari itu, beliau memberitahu salah seorang jirannya memuji jahitannya. Bahkan jirannya juga berminat menempah baju. "Tapi saya takut, sebab belajar pun belum tamat," katanya.

Saya segera menegurnya sikap penakutnya, sambil memintanya ambil tempahan tersebut. "Buat permulaan ni, terimalah dulu upah yang rendah. Bila dah selalu jahit, insyaallah kualiti akan meningkat. Masa tu bolehlah letak harga ikut pasaran."

Dan minggu ni, saya ke Segambut pula. Seorang lagi peserta ingin belajar menjahit baju kurung. Alhamdulillah, saya dapat membantu mereka yang amat memerlukan ilmu dan kemahiran saya.

Insya-allah saya akan usahakan agar beliau dapat jadikan bidang jahitan ini sebagai income terbaik untuk diri dan keluarga kita. Tambahan pula kerjaya menjahit di rumah sendiri dapat memastikan kita sentiasa berada di rumah di sisi anak-anak.

Pendapatan ada, pelajaran dan keselamatan anak-anak juga dapat sentiasa dipantau.

09 Ogos 2009

Pandai menjahit dalam 2 hari?


Seorang pemanggil menelefon saya...

Soalan

Saya ingin mengikuti kelas puan. Adakah saya mampu menyiapkan sepasang baju kurung sendiri cuma hanya dengan mengikuti kelas puan selama dua hari sahaja?

Jawapan
Jawapan saya ringkas sahaja. ‘Minat’ dan ‘yakin boleh buat’ adalah dua kunci utama untuk berjaya.

Pengalaman saya mengajar peserta selama ini (mengajar di rumah) membuktikan mereka mampu menghasilkan sepasang baju kurung yang baik dalam jumlah masa kira-kira 15 jam. Cuma, untuk mendapat hasil yang lebih kemas dan cantik, mereka hendaklah selalu mempraktikkannya dengan selalu menjahit.

Ada baiknya bagi sesiapa yang ingin mengikuti kelas saya, agar membiasakan diri terlebih dahulu dengan cara-cara mengendalikan mesin jahit. Ambil sehelai kain terpakai, dan jahitlah semahu-mahu. Ia dapat membantu anda pergerakan kaki dan tangan sewaktu menjahit, dan mengawal kelajuan mesin.

12 Mei 2009

Ok tak baju saya?


"Saya dah rekemen cara akak mengajar saya menjahit pada kawan-kawan. Kalau mereka setuju, akak boleh datang lagi?" demikian luahan salah seorang peserta saya. Sebab menurutnya lagi cara saya mengajar amat mudah diikuti. Tambahan pula dah banyak kali dia belajar, baru kali ini dia benar-benar dapat buat baju sendiri.

Kata-katanya benar. Semasa saya ke rumahnya untuk kelas bagi hari kedua dan terakhir, dia unjukkan kepada saya sepasang lagi baju yang baru disiapkan. "Ini saya baru buat. Ok tak?"

Hati siapa tak rasa gembira, jika apa yang diajar telah berjaya dipraktikkan oleh pesertanya. Begitulah saya... saya bukan saja gembira malah amat bersyukur kepada Allah kerana ilmu jahitan yang saya ada telah berjaya diikuti dengan baik oleg peserta kelas saya.

Saya berdoa mudah-mudahan dengan ilmu yang telah saya curahkan itu, akan memberi erti yang amat besar kepada kehidupan mereka. Amin.

05 Mei 2009

Kelas-kelas Jahitan di Shah Alam dan KL


Alhamdulillah, walaupun saya dah lama tak up-date blog, namun ramai yang telah menghubungi saya dan telah berjaya menamatkan kelas dengan saya.

Kebanyakannya kaum ibu yang sudah ada kedai sendiri dan ada juga suri rumah sepenuh masa.

Kelas-kelas telah diadakan di tempat atau rumah mereka. Ada di Shah Alam dan ada di sekitar Kuala Lumpur. Biasanya pada hari sabtu daripada jam 9.30 pagi hingga 5 petang.
Ada yang berjaya menamatkannya dalam masa sehari sahaja dan ada yang berlanjutan hingga dua hari (dua kali sabtu).

Saya bersyukur kerana dengan ilmu yang saya ada, saya dapat membantu mereka meningkatkan kemahiran menjahit dan seterusnya dapat menjadikan ia satu kelebihan diri...