15 Ogos 2009

Patutkah saya terima tempahan?

Dua minggu lepas, saya ke Tasik Puteri kerana mengajar Puan Ruzi. Beliau seorang suri rumah yang baru berhenti kerja dengan sebuah syarikat swasta. Beliau ambil pakej baju kurung.

Alhamdulillah pada hari kedua / akhir kursus dua hari itu, beliau memberitahu salah seorang jirannya memuji jahitannya. Bahkan jirannya juga berminat menempah baju. "Tapi saya takut, sebab belajar pun belum tamat," katanya.

Saya segera menegurnya sikap penakutnya, sambil memintanya ambil tempahan tersebut. "Buat permulaan ni, terimalah dulu upah yang rendah. Bila dah selalu jahit, insyaallah kualiti akan meningkat. Masa tu bolehlah letak harga ikut pasaran."

Dan minggu ni, saya ke Segambut pula. Seorang lagi peserta ingin belajar menjahit baju kurung. Alhamdulillah, saya dapat membantu mereka yang amat memerlukan ilmu dan kemahiran saya.

Insya-allah saya akan usahakan agar beliau dapat jadikan bidang jahitan ini sebagai income terbaik untuk diri dan keluarga kita. Tambahan pula kerjaya menjahit di rumah sendiri dapat memastikan kita sentiasa berada di rumah di sisi anak-anak.

Pendapatan ada, pelajaran dan keselamatan anak-anak juga dapat sentiasa dipantau.

09 Ogos 2009

Pandai menjahit dalam 2 hari?


Seorang pemanggil menelefon saya...

Soalan

Saya ingin mengikuti kelas puan. Adakah saya mampu menyiapkan sepasang baju kurung sendiri cuma hanya dengan mengikuti kelas puan selama dua hari sahaja?

Jawapan
Jawapan saya ringkas sahaja. ‘Minat’ dan ‘yakin boleh buat’ adalah dua kunci utama untuk berjaya.

Pengalaman saya mengajar peserta selama ini (mengajar di rumah) membuktikan mereka mampu menghasilkan sepasang baju kurung yang baik dalam jumlah masa kira-kira 15 jam. Cuma, untuk mendapat hasil yang lebih kemas dan cantik, mereka hendaklah selalu mempraktikkannya dengan selalu menjahit.

Ada baiknya bagi sesiapa yang ingin mengikuti kelas saya, agar membiasakan diri terlebih dahulu dengan cara-cara mengendalikan mesin jahit. Ambil sehelai kain terpakai, dan jahitlah semahu-mahu. Ia dapat membantu anda pergerakan kaki dan tangan sewaktu menjahit, dan mengawal kelajuan mesin.