“Cantik dan kemas jahitan ni,” tanpa sedar saya pernah memuji hasil kerja beberapa peserta saya. “Kalau selalu praktis, boleh terima tempahan ni.”
Kadang kala saya seakan tidak percaya mereka dapat menjahit dengan baik dan kemas. Lebih-lebih lagi kerana saya sedar itulah kali pertama mereka mula memberanikan diri menggunting baju dan menggunakan mesin jahit.
Iya, biasanya satu atau dua jam pertama kelas dihabiskan dengan latihan tertentu, antaranya sedikit pengenalan tentang peralatan jahitan dan mesin (bagi mereka yang tidak pernah belajar jahitan), selain peserta sendiri diberi peluang berlatih mengguna dan mengawal pergerakan mesin. Diikuti cara mengukur berdasarkan ukuran badan sendiri dan menggunting, seterusnya menjahit baju sehingga siap.
Ini membuatkan saya sedikit bangga dan bersyukur kerana peserta saya dapat mengikuti kursus jahitan saya dengan jayanya.
Akhirnya saya sedar bahawa saya bukan sekadar mengadakan kursus jahitan intensif selama 2 hari kepada mereka, menerima bayaran dan pulang.
Tetapi lebih daripada itu, saya juga harus sedar bahawa tugas saya yang lebih mencabar ialah mengcungkil kebolehan yang selama ini terpendam dalam diri setiap peserta saya.
Selagi mereka tidak mencuba untuk belajar menjahit, selama itulah kebolehan istimewa mereka ini akan tersimpan begitu saja.
Alangkah ruginya…