25 September 2011

Bengkel Jahitan Ke-10: Keseronokan bila baju siap...

"Alhamdulillah, dah siap baju saya. Bolehlah saya pakai ke pejabat minggu depan," ujar salah seorang peserta bengkel jahitan kali ke-10 ini, melonjak kegembiraan.

Saya tersenyum dan tumpang gembira. Begitu juga reaksi peserta lain tatkala melihat beliau menggayakan baju kurung yang baru siap dijahit.

Walhal, menurut peserta itu lagi, sebelum ini beliau hanya mampu menjahit lurus saja. Itu pun pernah juga beliau cuba-cuba menjahit seluar anaknya yang koyak. Entah di mana silapnya, lagi dijahit lagi bertambah koyaknya. Akhirnya seluar tersebut terpaksa dibuang begitu saja...

Alhamdulillah, hari ini beliau telah mampu menyiapkan sepasang baju kurung dengan baik. Harapan saya, mulai hari ini, beliau dan termasuk juga lain-lain peserta bengkel ini dan bengkel-bengkel sebelumnya, hendaklah terus mempraktis ilmu jahitan yang telah dipelajari ini.

Insyallah, lagi dipraktis, lagi banyak ilmu dan kemahiran yang akan anda perolehi.

Dan jika anda menemui masalah baru yang tidak dapat anda selesaikan, jangan bertangguh untuk menghubungi saya!

Berikut adalah suasana bengkel kali ini...



Untuk menyertai bengkel, sila baca entri terbaru (klik sini) kami.

Harap maklum.

18 September 2011

Bengkel Jahitan Ke-9: Yang pertama lepas raya...

Alhamdulillah, bengkel kali ke-9 ini selesai dengan jayanya.

Pada mulanya, saya agak khuatir untuk mengadakan bengkel sebegitu awal selepas raya... bimbang kekurangan peserta... maklumlah musim rumah terbuka di merata-rata.

Walau bagaimanapun, dek kerana ramai yang menghubungi, saya segera mengatur kelas. Mulai hujung minggu ini, minggu depan dan seterusnya... semata-mata kerana ingin berkongsi ilmu dengan para peserta.

Tambah membakar semangat, setelah saya menerima sms daripada salah seorang peserta yang pernah mengikuti bengkel saya:

"Saya telah berjaya menyiapkan 4 pasang baju kurung raya untuk anak saya dengan ilmu yang akak ajar. Baju raya saya belum siap, ada 2 pasang..."

Tahniah saya ucapkan. Tambah membanggakan saya, walaupun dalam kesibukan tugasan sebagai seorang jurutera, beliau berjaya juga "mencuri" masa untuk menjahit.

Berikut adalah suasana bengkel kali ini...