24 Ogos 2011

"Saya dah terima tempahan jahit langsir lurus!"

Puan Ila, salah seorang peserta saya yang pernah belajar menjahit baju kurung dengan saya satu ketika dulu.

Oleh kerana beliau tinggal di taman bersebelahan taman saya, jadi selalulah juga beliau berkunjung ke rumah saya. Ada kalanya beliau datang ziarah, ada kala kerana bertanyakan masalah jahitan.

Baru-baru ini beliau memberitahu saya, selain menerima beberapa tempahan jahitan baju kurung, ada juga jiran yang meminta beliau menjahit langsir lurus.

"Ada jiran minta saya jahit langsir untuk mereka. Tapi jenis langsir lurus saja."

"Alhamdulillah. Itu satu peluang yang baik. Bukan mudah nak dapat kepercayaan orang," jawab saya memberi semangat.

"Lepas ni saya nak belajar jahit langsir pula dengan akak," tambah beliau bersemangat.

Iya, tidak rugi belajar menjahit langsir. Tambahan pula menjahit langsir ni kerjanya "sikit dan cepat" tapi upahnya agak lumayan. Lebih-lebih lagi jika kita tinggal di sebuah taman perumahan. Banyak rumah yang perlukan khidmat jahitan langsir.

Apa yang penting, ialah kekalkan kepercayaan orang lain (pelanggan) kepada kita. Berilah khidmat yang sebaik mungkin. Insyallah, pelanggan kita akan turut menjadi "tukang" promosi bagi pihak kita.

Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, ilmu menjahit ini amat berguna. Bukan saja kepada mereka yang ingin benar-benar terjun ke bidang perniagaan tapi juga kepada sesiapa saja.

Adik perempuan saya seorang guru siswazah di salah sebuah sekolah berasrama di Kajang, pandai menjahit langsir. Beliau sering menerima tempahan menjahit langisr daripada kawan-kawan sekolahnya, dan kadang-kadang daripada sekolah beliau sendiri. Biasanya beliau melakukan kerja sampingan ini pada musim cuti atau hujung minggu.

Ia satu kerja sampingan yang memberi hasil yang sangat berbaloi.

Manakala salah seorang bekas peserta bengkel baju kurung saya yang lain pula memberitahu yang beliau cuba mengaplikasi ilmu menjahit baju kurung untuk menjahit baju Melayu suami beliau!

Oleh kerana cara belajar menjahit baju kurung dan baju Melayu yang berbeza, akhirnya beliau berhadapan dengan sedikit masalah - kekemasan di bahagian ketiak.

Walau bagaimanapun, saya ucapkan tahniah di atas keberanian kedua-dua peserta saya yang telah mencuba sesuatu yang baru, hasil mempelajari ilmu menjahit baju kurung.

Inilah yang saya mahu: latihan jahitan yang mereka terima telah menjadikan mereka berani mencuba. Cuma, mereka perlu sentiasa ada keinginan untuk belajar dan belajar lagi, bagi menambah ilmu dan kemahiran jahitan yang mereka sedia ada.


1 ulasan:

Dwi Sulistiyani berkata...

Tertarik untuk mempelajari cara membuat pola pakaian beserta cara menjahitnya?.. Anda bisa memesan paket CD belajar menjahit di Fitinline..