Saya sering ditanya soalan-soalan berikut oleh peserta yang baru pertama kali hendak belajar menjahit. Antaranya...
SOALAN : Bagaimanakah kaedah puan mengajar?
JAWAPAN : Saya mengajar teknik mudah untuk menjahit sepasang baju. Bagaimana teknik membuat ukuran, teknik memotong, menjahit, cara mudah membuat dan menjahit leher, dan sebagainya.
Saya akan ajar cara paling mudah untuk menjahit sepasang baju mengikut tahap dan keupayaan peserta. Kerana saya sedar ada antara peserta langsung tidak pernah “pegang” mesin jahit pun sebelum ini. Dan cara saya ini diakui mudah dan praktikal oleh beberapa peserta yang pernah mengikuti kelas jahitan lain sebelum belajar dengan saya.
Sebenarnya, apa yang saya ajar kepada peserta ialah cara-cara bagaimana saya menyiapkan tempahan pakaian daripada pelanggan saya setiap hari. Saya gabungkan ilmu jahitan yang saya pernah belajar dengan beberapa institusi swasta dan pengalaman saya menjahit selama lebih 20 tahun. Ini bermakna saya ajar apa yang saya buat.
Bagi memudahkan peserta belajar, saya tetapkan jumlah peserta bagi setiap sessi ialah antara seorang hingga tiga orang sahaja. Jumlah yang kecil ini memudahkan saya memberi tunjukajar secara terus (hands-on) kepada peserta. Mereka juga akan dapat siapkan kerja di bawah pengawasan terus daripada saya.
SOALAN : Saya belum pernah belajar menjahit. Pegang mesin pun tak tahu. Bolehkah saya pandai dalam masa dua hari?
JAWAPAN : Pengalaman saya, kebanyakan peserta yang belajar dengan saya, ada yang tidak pernah belajar menjahit. Dalam erti kata mudah, tidak pernah pegang mesin!
Alhamdulillah, berkat ketekunan mereka, akhirnya kesemua mereka kini sudah mampu menjahit baju sendiri. Malah ramai juga yang sudah menerima tempahan jahitan daripada jiran atau kawan-kawan.
Seorang peserta saya dari Langkawi yang ambil pakej baju Melayu, kini mampu menerima tempahan menjahit baju Melayu di sana.
SOALAN : Saya tiada mesin jahit. Perlukan saya membelinya?
JAWAPAN : Saya selalu nasihatkan bakal peserta agar membeli mesin sendiri sebelum mula belajar.
Tujuannya supaya peserta dapat membiasakan diri dengan mesin jahit. Sebagai permulaan, ambil perca kain yang tidak dipakai dan buatlah jahitan lurus dulu. Lakukannya setiap kali anda ada kelapangan masa. Tujuannya supaya peserta dapat memahirkan pergerakan dan kawalan tangan semasa menggunakan mesin.
Bila kita selalu menjahit lurus, insya-Allah kita akan mudah mengawal mesin ketika kita belajar menjahit sepasang baju kurung.
Sebelum beli mesin, ada baiknya kalau puan-puan dapat menelefon saya dahulu. Insyaallah, saya akan beri sedikit nasihat tentang mesin mana yang sesuai dibeli.
SOALAN : Bagaimana jadual kelas puan?
JAWAPAN : Jadual kelas saya ialah setiap pada hujung minggu iaitu hari Sabtu dan Ahad.
Ada peserta memilih setiap hari Sabtu selama dua kali berturut. Ada yang pilih hari Ahad. Malah ada juga yang pilih hari Sabtu dan Ahad sekaligus.
Biasanya kelas dimulakan pukul 10 pagi – 5 petang. Namun, adakalanya saya mula awal iaitu jam 9 pagi dan berakhir jam 6 petang. Ini bergantung kepada kesungguhan dan kesediaan peserta untuk belajar.
SOALAN : Berapa yuran?
JAWAPAN : Sejak akhir-akhir ini kebanyakan peserta memilih untuk belajar teknik menjahit baju kurung.
Yuran untuk kelas baju kurung selama dua hari ialah RM250 seorang.
Bagaimana pun, jika peserta ada membawa satu atau dua peserta lagi, peserta akan diberikan diskaun.
Saya juga mengenakan sedikit charge kenderaan bagi mana-mana lokasi melebihi 50 km jaraknya dari rumah saya. Kadar bayarannya akan ditentukan semasa perbincangan dengan peserta. Biasanya tidak melebihi RM30 sahaja bagi dua kali kelas.
SOALAN : Jika kelas diadakan di rumah saya, perlukan saya menyediakan makan tengahari untuk semua peserta?
JAWAPAN : Saya tidak menetapkan peserta tuan rumah untuk menyediakan makanan, sama ada untuk saya atau peserta lain.
Selalunya saya akan bawa bekal sendiri untuk sarapan dan makan tengahari.
Pada peringkat awal saya membuka kelas begini dulu, saya akan keluar antara jam 1 – 2 petang ke surau atau masjid berdekatan untuk rehat, makan dan solat Zuhur. Namun, cara ini banyak memakan masa saya. Ada kalanya lebih sejam.
Jadi saya ambil keputusan untuk berehat sekejap pada waktu tengahari, sambil makan dan solat Zuhur di rumah peserta sahaja. Cara ini amat menjimatkan masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan