21 Mac 2011

Pertanyaan sebelum beli mesin jahit


Setiap kali sebelum memulakan kelas dengan peserta baru, saya akan bertanyakan peserta sama ada mereka ada memiliki mesin jahit atau belum. Walaupun, ia bukan syarat untuk belajar dengan saya, tapi ia satu kelebihan dan amat mustahak jika peserta ada mesin jahit sendiri. Ini kerana ia dapat memudahkan peserta mempraktikkan semula pelajaran yang diajar.

Tanpa mesin jahit di rumah, peserta tidak dapat mempraktikkan semula ilmu jahitan yang telah dipelajari. Lama kelamaan, peserta akan lupa dan akhirnya hilang semangat untuk meneruskan jahitan.


Ada beberapa jenis mesin jahit yang boleh digunakan untuk belajar menjahit. Antaranya mesin jahit mudah alih (portable), mesin jahit industri (high speed), mesin jahit tepi.
Sebelum membeli mesin-mesin jahit tersebut, elok dibuat beberapa pertanyaan kepada diri sendiri.

Antaranya:

• Apa yang saya nak jahit?
Mengapa saya ingin membeli mesin jahit ini?
• Berapa harga mesin jahit yang sesuai?
• Apa kelebihan mesin jahit ini?
• Adakah saya akan dibekalkan maklumat / tunjukajar oleh jurujual?


Secara umumnya, jika anda ingin belajar menjahit, usah beli mesin jahit industri dulu. Kerana ia laju dan tidak sesuai bagi mereka yang baru ingin belajar menjahit. Peserta yang baru belajar menjahit biasanya sukar mengawal kelajuan pergerakan mesin ini. Lagipun harganya juga mahal (biasanya lebih RM1,500 sebuah).

Mesin jahit industri ini sesuai digunakan oleh mereka yang sudah mahir dan cekap menjahit. Mesin jahit industri dapat menjahit pakaian atau langsir dan sebagainya dengan cepat dan pantas, serta dapat digunakan utnuk jangka masa jahitan yang panjang.

Bagi mereka yang baru ingin berjinak dalam dunia jahitan, saya lebih syorkan anda membeli mesin jahit mudah alih elektrik kerana ia lebih mudah dikawal. Senang dibawa ke mana-mana.

Lagipun mesin jahit jenis ini ada banyak fungsi tambahan selain jahit lurus. Antaranya untuk jahit sulam (pelbagai paten), jahit zigzag, membuat lubang butang, dan sebagainya.


Mesin jahit mudah alih ini juga sesuai bagi mereka yang ingin belajar menjahit langsir. Walau bagaimanapun ada mesin jenis ini kurang lasak. Ia akan bergegar bila kita menjahit kain tebal atau kain langsir.


Manakala mesin jahit tepi pula berguna untuk menjahit tepi kain. Ada antara kedai jahit menyediakan perkhidmatan menjahit tepi kain dengan upah yang berpatutan. Bagi mereka yang berada jauh dari kedai jahit, elok memiliki sendiri mesin jahit tepi.


Walau pun saya ada menyediakan pakej menjual mesin jahit, tapi saya tidak menghalang jika ada peserta saya ingin membeli sendiri mesin jahit mengikut citarasa masing-masing.

Cuma jika ingin beli sendiri, saya ingin berpesan supaya beli di kedai yang menjual mesin yang berdekatan dengan kediaman anda bagi memudahkan anda mengunjunginya jika ada masalah. Selain daripada itu, pastikan jurujual memberi tunjukajar cara-cara bagaimana untuk menggunakan mesin jahit dengan betul.


Ada antara peserta saya yang membeli mesin mudah alih semata-mata atas nasihat jurujual. Sudahlah harganya mahal (menyamai harga mesin industri), ada antara mereka pula tidak diberi tunjuk ajar dengan betul oleh jurujual termasuk bagaimana cara nak pasang jarum. Melainkan dipesan supaya rujuk katalog. Ada juga yang membeli mesin jahit berkomputer.


Saya tidak berapa gemar mesin-mesin jahit yang terlalu canggih ini. Kerana saya sendiri tidak mahir menggunakannya.

Apabila ada peserta yang terbeli mesin jahit yang agak canggih atau jenis mesin jahit yang di luar kebiasaan saya, akan menjadi masalah bagi saya untuk memberi tunjukajar bagaimana menggunakan mesin. Ini kerana saya terpaksa membaca dahulu katalognya, mencuba dan mencuba, dan baru menerangkannya kepada peserta. Lain mesin, lain pula katalognya. Ini akan menyebabkan banyak masa yang sepatutnya digunakan untuk belajar menjahit terpaksa digunakan untuk belajar menggunakan mesin.


Sebab itu, amat penting peserta mendapat maklumat dan tunjukajar secukupnya tentang penggunaan mesin jahit daripada jurujual. Perlu diingat, mesin jahit yang mahal tidak semestinya menjanjikan kita dapat menjahit dengan baik.

Ada mesin jahit yang berjenama dan mahal harganya, tapi bila menjahit jenis kain tebal, ia akan bergegar. Ada mesin jahit yang tidak berjenama dan murah pula harganya tapi dapat memberikan hasil jahitan yang baik dan memuaskan, termasuk menjahit langsir.


Pesanan kepada bakal peserta saya, jika anda ingin membeli mesin jahit sendiri, jangan segan menelefon saya untuk meminta panduan membeli mesin jahit yang sesuai.

Sebagai panduan ringkas mengenai harga mesin jahit yang sesuai adalah seperti berikut:
• Mesin jahit mudahalih: antara RM650 - RM900
• Mesin jahit industri: RM1500 - RM2000
• Mesin jahit tepi: RM1100 - RM1500

Manakala bagi peserta yang ingin meminta saya membelikan mesin jahit untuk mereka, harap dapat hubungi segera saya, selewat-lewatnya seminggu sebelum kelas bermula.

3 ulasan:

Unknown berkata...

Terima kaseh atas maklumat yg dberikan... sy mmg nk beli n belajar menjahit...

Unknown berkata...

Terima kaseh atas maklumat yg dberikan... sy mmg nk beli n belajar menjahit...

Unknown berkata...

Terima kasih atas penjelasan yg sangat membantu