25 Julai 2011

Bengkel Jahitan Ke-7: "Inilah yang saya suka!"

1. Alhamdulillah, bengkel intensif baju kurung kali ke-7, telah selesai dengan jayanya. Seramai 7 peserta dari kawasan sekitar telah mengikuti bengkel di Kajang ini.

"Inilah yang saya suka," kata salah seorang peserta sebaik selesai menyiapkan jahitan pada bahagian pinggang. Rupa-rupanya beliau menyukai sudahan bahagian pinggang pada kain - gabungan antara getah dan bakrem.

Iya, bahagian pinggang nampak kemas bila digabung getah dan bakrem.


2. Seperkara lagi yang disukai oleh peserta ialah jahitan matalalat pada bahagian leher, walaupun ada antaranya sebelum ini sudah pandai menjahit leher jenis karipap.

Ada yang mengirim emel memberitahu beliau mempraktis menjahit matalalat sepanjang dalam komuter ketika nak ke pejabat....

Seronok saya mendengarnya. Ini menjadikan saya bertambah bersemangat untuk memberikan yang terbaik kepada peserta saya.

3. Bengkel intensif baju kurung kali ke-8 yang akan diadakan pada hujung minggu ini iaitu pada hari sabtu dan ahad ini / 30 - 31 Julai ini (sehari sebelum puasa) adalah merupakan sessi yang terakhir sebelum bulan puasa.

Bengkel hujung minggu ini sepatutnya dihadiri oleh 7 peserta. Malangnya seramai 3 peserta yang telah pun membayar deposit, terpaksa menunda kelas mereka selepas raya kerana pada hujung minggu ini mereka terpaksa bekerja.

Sehubungan itu, jika ada sesiapa yang berminat, sila hubungi saya segera.

Insyallah bengkel ke-9 pula akan diadakan pada 17 - 18 September nanti bertempat di TTDI.

Berikut adalah suasana semasa bengkel jahitan kali ke-7...




17 Julai 2011

Bengkel Jahitan Ke-6: Kemahiran mengukur dan menggunting

Alhamdulillah, bengkel jahitan baju kurung kali ke-6 selesai dengan jayanya.

Kali ini gerak kerja kesemua peserta agak baik dan cepat. Ini mungkin kerana saya memadan-regukan antara sesama peserta. Peserta A akan membantu peserta B mengukur dan menggunting kainnya. Kemudian peserta B pula membantu kerja peserta A.

Secara tidak langsung setiap peserta mendapat dua kali latihan mengukur dan menggunting. Hanya apabila menjahit sahaja, mereka akan melakukannya secara berseorangan di meja masing-masing.

Mengukur dan menggunting dengan betul akan memudahkan kerja-kerja menjahit seterusnya. Ia satu seni. Ia juga satu kemahiran. Ia dapat diperolehi apabila kita selalu mengulang-ulangnya.

Silap mengukur, lebih-lebih lagi jika silap menggunting akan merosakkan hasil akhir sehelai baju kurung!

Berikut, adalah suasana bengkel ke-6...







13 Julai 2011

"Susah ke nak jahit kain swiss cotton?"

Baru-baru ni, saya ada menerima mesej yang dihantar ke FB saya oleh salah seorang peserta saya yang paling muda. Saya begitu teruja dan sangat gembira membacanya.

Memandangkan pertanyaannya, saya rasa begitu penting dan mungkin menjadi pertanyaan orang lain juga, maka saya siarkannya untuk tatapan semua. Mudah-mudahan jawapan saya dapat membantu sesiapa saja yang menghadapi masalah yang sama.

Begini pertanyaannya:

1. Cikgu, baju Aina dah siap selasa lepas. Ingat nak jahit baju lagi... Aina cadang nak beli kain secara online. Nak minta nasihat cikgu, kain jenis apa senang handle. Kalau swiss cotton senang tak nak handle cikgu?

2. Aina ada jahitkan baju kurung untuk adik. Bajunya kain cotton, cuma kainnya jenis kain satin. Aina ambil masa lama dekat 1 jam nak potong kain tu. Tak tau boleh handle ke tak bila nak jahit nanti...

Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kepada Aina kerana begitu tekun mencuba. Saya yakin satu hari nanti Aina akan mahir menjahit. Ia akan menjadi satu kelebihan yang sangat menguntungkan bagi Aina, walaupun ketika itu Aina mungkin sudah ada satu kerjaya yang tetap.

Semasa bengkel, saya akan ajar peserta menjahit menggunakan kain cotton biasa sahaja. Tujuannya supaya para peserta yang mungkin baru pertama menjahit dapat memotong kain dan menjahitnya dengan mudah dan yakin.

Apabila sudah tahu teknik menjahit, teruskan lagi mencuba menjahit beberapa pasang baju kurung atau sekurang-kurangnya tiga pasang.

Setelah berasa agak mahir, bolehlah mencuba menjahit kain dari jenis yang lain pula yang agak lembut. Umpamanya swiss cotton, cotton woile, indian cotton, kain satin, sutera dan lain-lain. Perlu diingat, menjahit kain yang lembut, agak sukar dan mencabar sikit. Tapi kita perlu mencubanya. Sebab itu upah menjahitnya juga lebih mahal. Tak sama upah menjahit baju kurung dari kain cotton biasa dan kain sutera!

Cuma bagi kain jenis yang lembut tadi, cara memotongnya sama seperti cotton biasa (seperti semasa belajar di bengkel), cuba kita kena sematkan jarum peniti lebih sikit pada bahagian yang nak dipotong itu.

Manakala semasa menjahitnya, kain tersebut tidaklah perlu ditarik (kerana ia dikhautiri memeri dan akan mengubah saiz ukuran baju).

Selamat mencuba. Kerana apabila selalu mencuba, secara otomatik kemahiran menjahit apa-apa jenis kain, termasuk jenis yang lembut menjadi mudah.

10 Julai 2011

Bengkel Jahitan Ke-5: Hampir Kena Tunda...

Alhamdulillah, bengkel kali ke-5, berjaya juga diadakan, walaupun sehari sebelum bengkel diadakan, beberapa peserta menelefon bertanyakan sama ada saya akan meneruskan juga kelas pada Sabtu 9 Julai? Sabtu 9 Julai bersamaan hari berlangsungnya perhimpunan Bersih di KL.

Setelah berbincang dengan suami, kami mengambil keputusan untuk meneruskan juga kelas menandangkan hanya seorang peserta sahaja dijangka tidak dapat hadir pada hari sabtu kerana kebetulan rumahnya berada di Setapak, KL. Lagi pun, sewa dewan telah dibayar sehari sebelumnya.

Kalaupun beliau datang, saya jangka beliau akan terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang teruk. Saya sendiri, sewaktu dalam perjalanan dari Ijok ke TTDI, juga tersangkut di kawasan Damansara Damai. Nasib baik suami cepat sedar dan segera berpatah balik, melencong ke Jalan Lapangan Terbang, masuk ke Kota Damansara dan terus ke TTDI.

Manakala peserta lain tiada masalah kesesakan jalan kerana mereka tinggal di Kota Damansara atau Subang.

Pada hari Satu, jumlah peserta adalah 5 orang. Manakala pada hari Ahad, semua peserta hadir termasuk Puan Asmah dari Setapak, menjadikan jumlahnya 6 orang kesemuanya. Cuma beliau akan ganti kelas hari Sabtu yang tertinggal itu pada bengkel yang akan datang.

Berikut adalah suasana bengkel ke-5 di TTDI...








06 Julai 2011

Senarai Peserta Bengkel Baju Kurung : 9 & 10 Julai 2011

Berikut adalah nama peserta yang akan mengikuti Bengkel Intensif Baju Kurung, pada 9 dan 10 Julai/Sabtu & Ahad.
Tempat: Dewan Konferen 3, Kompleks Balai Islam, Masjid Al Ghufran, Tmn Tun Dr Ismail.

i. Nurazlinawati (KL)
ii. Zuraidah (Flora Damansara)
iii.
Rose Atikah (Kota Damansara)
iv. Aimi (Subang Jaya)
v. Diana (USJ)
vi. Asmah (Setapak)

Peralatan yang disediakan:
a. Mesin jahit,
b. Peralatan memotong dan mengukur

Peralatan yang perlu dibawa:
a. Kain cotton 4 meter (kain bidang 45"), sebaiknya jangan kain jenis yang lembut.
b. Benang sama warna kain (background kain),
c. Benang sama warna dengan bunga kain untuk siapkan mata lalat
d. Zip 8 in (sama warna kain).

04 Julai 2011

Bengkel Jahitan Ke-4: Pesertanya muda belaka

Alhamdulillah, saya baru saja selesai mengendalikan satu lagi bengkel intensif baju kurung di Kajang. Inilah kali pertama saya mengadakan bengkel di luar Lembah Klang.

Dan inilah juga kali pertama saya mengadakan bengkel jahitan kepada peserta dari kalangan generasi muda - rata-rata mereka berusia antara 21 - 28 tahun! Sekali lagi saya bersyukur kerana berjaya menanam minat menjahit ke dalam jiwa "orang muda".

Pada hari pertama mereka agak perlahan mengikuti pembelajaran. Maklumlah, mereka tak pernah belajar menjahit. Kecuali seorang dua yang tahu jahit lurus. Namun sebaliknya pada hari kedua. Mereka agak cepat dapat menyiapkan jahitan bahagian kain.

Hasilnya bengkel berjaya tamat lebih awal daripada jangkaan.

Segulung tahniah dihulurkan kepada kesemua peserta muda saya! Jangan lupa praktis ilmu yang telah dipelajari dan jangan serik menambah ilmu dan pengalaman.

Berikut adalah suasana bengkel kali ke-4...