18 Disember 2010

Langsir untuk rumah ibu

Alhamdulillah, sejak akhir-akhir ini ramai yang mengambil kursus asas jahitan langsir. Ramai lagi yang bertanya itu dan ini tentang kursus langsir ini.

"Sekarang upah tempah langsir pun mahal. Lebih mahal dari belajar dengan akak ni. Itu tak termasuk harga kainnya lagi," seorang peserta saya memberitahu sebab beliau ingin sangat belajar menjahit langsir.

"Suami galak saya belajar menjahit langsir. Banyak tempat beliau selidik, terutama website yang mengajar jahitan. Ada yang yurannya sama dengan akak tapi kursusnya sehari saja. Itu dah kira terlalu intensif," beritahu seorang peserta saya yang lain. "Orang baru belajar menjahit macam saya ni tak confident pulak nak ikut kursus seintensif itu."

"Setiap orang pengajar atau sekolah jahitan ada cara mengajarnya yang tersendiri. Cuma saya memilik mengadakan kelas selama 3 hari untuk mengajar langsir ni kerana saya mahu setiap peserta saya betul-betul faham kesemua 12 paten langsir yang saya ajar dan boleh buat sendiri selepas mempelajarinya," balas saya.

"Insya-Allah, kira-kira dua atau tiga bulan lagi saya nak ambil pula kursus menjahit baju kurung dengan akak," katanya.

"Mengapa kena tunggu dua atau tiga bulan?" soal saya ingin tahu.

"Sebab saya nak siapkan dulu langsir-langsir baru rumah saya ni. Bila akak datang sekali lagi, kesemua langsir rumah saya ni langsir baru yang saya jahit sendiri," jawabnya.

"Alhamdulillah," balas saya tersenyum.

"Lepas langsir baru rumah saya ni siap, saya nak jahit pula langsir baru untuk rumah mak," katanya lagi penuh ceria.

"Alhamdulillah..." kata saya bertambah panjang.

Saya benar-benar terharu kerana ilmu yang saya ada telah membantu seorang anak untuk berbudi kepada ibunya.

Pesan saya, carilah keberkatan hidup di dunia ini melalui kegembiraan yang mampu kita lakukan untuk kedua orang tua kita, selagi mereka masih ada.


Untuk menyertai bengkel, sila baca entri terbaru (klik sini) kami.

Harap maklum.


25 November 2010

Anakku belajar menjahit



Cuti hujung tahun kali ini agak malang bagi anak-anak saya kerana jadual mengajar ibu mereka agak padat. Kelas mengajar menjahit ada pada setiap hujung minggu, hingga hujung tahun. Dan jadual mengajar bersambung pada bulan Januari tahun depan juga. Insyallah, saya akan cari juga masa yang sesuai untuk bawa mereka bercuti.

Kebetulan pada tahun ini, ramai sungguh yang menghubungi saya nak belajar menjahit, sejak bulan puasa yang lalu, membawa ke musim cuti sekolah ini. Jadi kenalah saya bertungkus-lumus sikit.

Sebenarnya, dah memang niat saya sejak awal-awal saya merancang mengadakan kelas jahitan beberapa tahun lalu, iaitu insyaallah segala ilmu jahitan dan pengalaman yang saya ada sejak lebih 20 tahun lalu akan saya tumpahkan kepada setiap peserta yang belajar dengan saya.

Saya mahu mereka mahir menjahit dalam masa yang lebih cepat dan singkat daripada saya. Dengan syarat ada minat dan rajin berusaha.

Alhamdulillah, niat saya dah mula menampakkan hasil yang memberangsangkan.

Berbalik kisah anak saya tadi, sementara janji untuk bawa mereka bercuti belum dapat dipenuhi, saya cuba juga isi masa mereka dengan aktiviti bermanfaat.

Saya cuba pujuk anak bongsu perempuan saya yang saya panggil “Adik” belajar menjahit. Pada awalnya dia tak minat kerana katanya cita-citanya lain, nak jadi doktor. Tapi setelah saya terangkan keistimewaan menjahit, bagusnya kalau seorang doktor juga tahu menjahit baju sendiri, barulah hatinya terbuka untuk belajar.

Perkara yang sama pernah saya lakukan pada anak lelaki ketiga saya semasa dia bercuti selepas SPM tahun lalu. Jahitannya agak kemas tapi malangnya pelajarannya tak habis…

Nak tahu kenapa tak habis?

Kerana kebetulan semasa saya mengajarnya menjahit, adiknya iaitu anak lelaki saya yang keempat yang baru balik dari sekolah telah mengusiknya, “Eeee, belajar menjahit? Macam pompuan laaa.”

Apa lagi, si abang telah ‘mengamuk’ sakan. Terus tak nak belajar lagi.

Hai, macam-macam kerenah anak-anak...


LANGKAH 1: Terangkan dulu nota pelajaran. Peralatan yang diperlukan untuk belajar menjahit baju kurung dan cara ambil ukuran

LANGKAH 2: Terlebih dahulu draw rajah baju atas kertas minyak

LANGKAH 3: Sehelai kain yang jadi ‘mangsa’ jahitan pusing-pusing dan 'corner baring' Adik bagi memahirkan tangan dan kaki kontrol mesin.

HASILNYA.... “Ummi, sebelum balik asrama nanti, adik nak jahit baju sekolah sendiri,” katanya kepada saya. Alhamdulillah, ilmu saya turut dapat difahami oleh anak saya yang baru Tingkatan 1.

14 November 2010

Tahu menjahit itu satu keistimewaan


Suatu malam saya terima satu sms berbunyi, “Terimakasih acik Yati sebab ajar Aini jahit. Ilmu yang acik Yati bagi akan Aini gunakan sebaik yang mungkin.”

Oh, ini sms daripada Aini, peserta kursus menjahit baju kurung dari Bandar Sunway. Saya yang memintanya memanggil saya “makcik” kerana usianya yang sebaya dengan anak sulung saya. Beliau seorang yang cekap dan mudah menerima pengajaran.

Aini dan suaminya, kedua-dua mereka adalah siswazah yang cuba berdikari dengan membuka perniagaan sendiri.

Tanpa banyak berfikir, saya balas smsnya, “TQ. Keep on trying n always practice. Mudah-mudahan Aini berjaya.”

Saya begitu bangga dengan kesungguhan mereka berdua. Saya doakan mudah-mudahan satu hari nanti mereka akan jadi usahawan yang berjaya, Insyallah.

Selain Aini, ramai lagi peserta saya yang selalu berhubung dengan saya bertanyakan itu dan ini, termasuk berapa upah jahitan yang patut mereka kenakan bila ada jiran-jiran ingin membuat tempahan, Ada yang menelefon, ada juga yang datang ke rumah saya untuk bertanya sambil berziarah. Terima kasih atas ingatan.

Ada juga yang saya sengaja telefon atau sms untuk bertanyakan perkembangan semasa mereka, terutama sekali tentang amali jahitan. Manakala mana-mana yang masih belum saya hubungi, saya benar-benar berharap mereka selalu mempraktikkan ilmu jahitan yang telah mereka pelajari, seperti harapan saya kepada Aini tadi. Makin lama kita menjahit, kita akan semakin mahir.

Sebenarnya bukan semua orang suka menjahit. Ada orang ada banyak masa. Tapi tak suka menjahit walaupun sekadar jahit yang mudah-mudah. Sebab baginya menjahit itu susah dan leceh. Lebih senang upah orang atau beli di kedai.

Bagi saya, orang yang ada minat menjahit, walaupun sikit-sikit, dan mahu mempelajarinya sudah membuka satu ruang dirinya ke arah memperolehi suatu keistimewaan. Keistimewaan menjahit baju sendiri, lebih-lebih lagi kalau mampu memjahit baju anak-anak, baju Melayu suami dan anak-anak serta mampu menjahit langsir sendiri.

Bila mampu menjahit sendiri, kita mampu menukarnya pada setiap tahun, atau ikut kemahuan kita. Sebabnya kos untuk mengupah orang dah tidak ada lagi. Manakala kos membeli kain amat murah.

Alhamdulillah, hari ini peserta saya ada di merata tempat di sekitar Lembah Klang ini. Antaranya di Petaling Jaya, Kota Damansara, Bandar Utama, Subang Jaya, Bandar Sunway, Puchong, Cheras, Putra Perdana, BB Bangi, Segambut, Lembah Pantai, Bandar Menjalara, Medan Putra, Selayang, Gombak, Shah Alam, Subang Jaya, Bukit Jelutong, Glenmarie, Kuala Selangor, Rawang, Tasik Puteri, Port Klang, dan lain-lain.

Selain kenalan saya bertambah ramai dari hari ke hari, saya juga dapat mengenali banyak kawasan perumahan yang selama ini tidak saya ketahui langsung.

01 November 2010

Beranikan diri anda memegang gunting!


Ada orang mampu melakukan tugasan yang sukar dan berat, memandu kereta di jalan yang paling sibuk, menyiapkan tesis pengajian yang tebal, memasak resepi makanan barat yang rumit dan sebag ainya, tapi kurang berani menjahit sepasang baju kurung.

Selain kerana tidak tahu, juga kerana tidak biasa. Tidak biasa kerana tidak belajar.

Bukan kerana tidak minat menjahit. Minat boleh datang jika ia dipupuk. Sama seperti memandu. Cuba tanya berapa ramai wanita yang minat memandu? Bila hari-hari kena memandu ke pejabat, datang kemahiran memandu. Bila sudah mahir, datanglah keberanian untuk memandu laju!

Begitu juga jahitan. Bila sudah belajar, kita akan tahu teknik mengukur, memotong dan menjahit. Dari situlah akan timbul keberanian. Berani mengukur, memotong dan menjahit sepasang baju kurung, baju Melayu atau langsir beropol-ropol.

Pokok pangkalnya ialah keberanian. Keberanian yang lahir hasil tahu dan biasa melakukannya.

Saya akui, kebolehan peserta menyiapkan sepasang baju kurung dalam masa dua hari atau menyiapkan pelbagai paten langsir dalam masa tiga hari seperti yang saya tetapkan amat menggembirakan saya.

Tapi yang lebih utama dan penting daripada itu ialah saya ingin tanamkan di hati setiap peserta ialah BERANI – keberanian memotong sehelai kain untuk dijadikan sepasang baju kurung.

“Bab potong nilah yang saya kurang berani sikit. Takut silap,” itu antara kata-kata peserta saya pada peringkat awal kelas.

Jika tidak ada keberanian, dibimbangi ilmu yang dipelajari takut untuk dipraktikkan. Akhirnya ia hilang begitu saja. Sayang sekali!

Sebab itu saya sangat teruja bila ada antara peserta yang menunjukkan sehelai kain yang telah dipotong sendiri pada hari kedua pembelajaran, selang seminggu.

“Takut lupa, jadi saya beli kain baru dan potong sendiri. Minta puan semak potongannya sebelum saya jahit,” pintanya kepada saya.

Rupa-rupanya, sementara menunggu kelas kedua pada minggu berikutnya, beliau telah mempraktikkan apa yang telah dipelajarinya pada hari kelas pertama. Jadi, dalam masa dua hari kursus, beliau berjaya menyiapkan dua pasang baju kurung!

Alhamdulillah, peserta ini telah berjaya mendapat tempahan daripada saudara-mara dan jiran-jirannya. Beliau juga kemudiannya mengikuti kelas menjahit baju kebaya, dan insyallah sedang merancang untuk mengikuti kelas baju Melayu.

12 Oktober 2010

Seronoknya Belajar Jahit Langsir


Puan Ila dari Kota Damansara adalah peserta saya yang begitu teruja dengan kaedah mudah bagaimana untuk menjahit langsir yang saya ajar.

Beliau sering berkata cara saya mengajar tak sama dengan apa yang pernah dipelajari. Bila saya tanya apa yang tak sama, beliau jawab cara saya lebih mudah. Malah apa yang begitu sukar difahami semasa beliau belajar dulu, kini telah dapat difahami dengan mudah.

Saya jawab, setiap orang guru ada cara dan kaedahnya yang tersendiri untuk mengajar. Dulu pun saya belajar kaedah yang sama, ada kaedah yang mudah dan ada yang susah. Belajar step by step. Memang begitulah cara belajarnya.

Walau bagaimanapun, saya lebih suka memudahkan kaedah mengajar kepada peserta saya berdasarkan ilmu yang pernah saya pelajari, yang kemudiannya saya olah semula berdasarkan pengalaman yang saya ada sejak saya belajar menjahit dulu.

Dulu, kira-kira 30 tahun lalu, masa saya masih bersekolah menengah lagi, saya dan adik-adik suka belajar menjahit langsir di kedai jahitan milik jiran saya di Kajang. Sambil belajar menjahit, dapat pula upah. Itu yang seronoknya.

Begitulah rutin kami setiap kali cuti hujung tahun atau semasa tunggu keputusan SPM. Alhamdulillah jiran saya itu jenis orang yang tak kedekut ilmu. Dari ilmu dan pengalaman beliaulah saya cuba pula tumpahkan kepada peserta saya pada hari ini.

Berbalik kepada cara kelas saya, saya perlu habiskan kursus jahitan langsir kepada setiap peserta dalam masa 3 hari sahaja! Itulah limit masa yang saya tetapkan. Dan inilah sebabnya saya namakan kursus saya sebagai KURSUS INTENSIF JAHITAN - Mudah, Cepat & Berkesan.

Oleh kerana itu, apa yang menjadi keutamaan bagi saya ialah peserta saya MESTI dapat mempelajari ilmu yang pernah saya ikuti selama beberapa minggu HANYA dalam masa 3 hari saja. Alhamdulillah, sehingga hari ini, kesemua peserta yang ambil kelas langsir saya dapat mengikuti pelajaran dengan baik.

Jika mereka rajin mempraktik apa yang saya ajar, insyallah, jahitan mereka bukan saja akan bertambah kemas, bahkan saya tidak ragu-ragu mereka akan mendapat tempahan menjahit langsir daripada orang lain juga.

Mudah-mudahan Allah SWT pelihara dan permudahkan segala usaha dan bakti saya ini.

Berikut adalah sebahagian contoh hasil kerja Puan Ila.


















28 September 2010

Yuran mahal & Jenis Baju Kurung

Saya menerima emel yang agak menarik daripada pengunjung seperti berikut:

1. Saya berminat nak belajar menjahit baju kurung. Cuma saya nak sedikit kepastian, daripada survey saya di internet, kebanyakan yuran kursus jahit baju kurung kira-kira rm150, berbanding yuran puan kira-kira rm250. Mungkinkah kerana puan turut mengajar sekali jahitan kemasan seperti beading & mata lalat, manakala orang lain tidak mengajarnya? Apa kelebihan kursus puan?

2. Salam Puan, untuk kelas jahitan baju kurung, adakah puan mengajar semua jenis baju kurung (biasa, riau) atau cuma sejenis sahaja?

Jawapan saya:

1 Terima kasih kepada yang bertanya. Suka saya nyatakan bahawa harga yuran tidak sama antara seorang pengajar dengan pengajar yang lain. Setiap orang ada alasan tersendiri tentang harga yuran yang mereka tetapkan. Kerana itu saya tidak berani komen mengapa orang lain yurannya rendah dan saya mahal atau sebaliknya.

Sepuluh tahun lalu, sewaktu saya mula-mula mengadakan kelas jahitan dari rumah ke rumah, harga yurannya sangat rendah. Dan ia naik sedikit demi sedikit selaras dengan kemahiran dan teknik pengajaran yang saya lakukan, hinggalah kepada harga yang ada sekarang.

Apa yang penting saya lebih suka mengajar bagaimana cara-cara mudah untuk menjahit berdasarkan ilmu yang saya pelajari daripada pelbagai sumber dan pengalaman yang saya lalui sepanjang 20 tahun berkecimpung dalambidang jahitan.

Saya mengajar kaedah potongan pakaian cara butik yang mudah difahami dan diikuti. Memang adat belajar, ada peserta yang cepat belajar dan ada yang lambat.

Bagi peserta yang cepat, saya ajar cara cepat dan dapat belajar lebih banyak.

Manakala yang agak lambat, saya ajar cara-cara mudah mengira dan mengambil ukuran hingga mereka juga mampu menyiapkan sepasang pakaian dengan sempurna.

Sehingga hari ini, alhamdulillah, kesemua peserta saya dapat menyiapkan kerja yang diberi dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Berkenaan dengan jahitan kemasan seperti beading dan mata lalat, memang saya ada mengajarnya. Walau bagaimanapun, ada sebilangan kecil peserta saya yang tidak pernah belajar menjahit dan agak ‘takut-takut’ mencuba teknik jahitan, saya tidak memaksa mereka mempelajarinya.

Cukup dengan mempelajari jahitan baju kurung yang asas. Itu keutamaan saya. Asalkan mereka tahu dan mampu menyiapkan sepasang baju kurung biasa yang cantik dan kemas. Ia amat menggembirakan saya.

Sepanjang kursus yang saya adakan, ramai yang telah mampu menjahit pakaian sendiri dan anak-anak. Bahkan ramai juga yang telah menerima tempahan jahitan daripada orang lain.

2 Kursus menjahit baju kurung yang saya ajar ialah baju kurung biasa (tradisional). Biasanya daripada ilmu yang saya ajar, disertaikan dengan kesungguhan mereka mempelajari, mencuba dan membiasakan diri dengan jahitan, insyallah mudah bagi mereka mencuba untuk menjahit baju riau dan sebagainya.


22 Julai 2010

Mudahnya Menjahit Baju Kurung!

Saya postkan satu entri daripada salah seorang peserta saya, Puan Lana untuk dikongsi bersama. Terima kasih atas entri yang sangat menarik dan sangat membantu tu.

MY HAND MADE BAJU KURUNG

I owe this entry not only to myself, but to my absolutely kind teacher Kak Yati from the tikfashion.blogspot.com & several other blogger + twitter friends who had been asking for it..otherwise i know it would take ages for it to be written. nak bukak blogger.com pun x sempat nyah oiii!! :P

So what happen was that i blog hopped and got a lil bit jealous with the fact that everyone is sewing around me.. in the cyber at least. so in a way you totally inspired me who for a well-known fact has zero knowledge on this subject. I'm not as lucky as y'all to have a sifu back home. So i googled and found this website which was like God's gift for me in a way by telling me thatdude, im giving a chance here ..so SEW! hehehee this is what we call REZEKI. So i called her up and this nice lady ~ kYati told me that i will have no problem in finishing ONE COMPLETE BAJU KURUNG in 2 days, and if I'm fast, 1 day also can!! x ke syok tu??? So I set a date - 2 weekdays when i was on my OFF day - one of the pros of working shift beside shopping in an empty mall / Giant.. so hQ could be in Taska and hubby would be working. The rest was history...

Kak Yati was punctual. 9am sharp she was already infront of my doorstep, with her sewing machine, and another jahit tepi machine which i have no idea what the actual name is. She even prepared a file for me with notes provided. We started of with:

measuring the body as what the tailor normally do.
and later some calculation,
pattern drawing & cutting,
pattern transfer on kain,
potong kain,
jahit tepi,
and finally jahit with the sewing machine which was one hell of a journey hehehe
jahit the neck is the toughest for the baju part.
jahit the pinggang is the toughest for the kain part.
Others, kacang only i guess.


~the beading & my COMPLETE baju kurung top~

I learnt the basic of how to use the machine, where to put the benang, how to lilit the small stool, how to insert the bottom benang etc. Man it was totally a new world to me, yet exciting! Who could have thought that a small machine could be that complicated! :P salah tarik sket jam abes hahaha. I hope I didn't break her machine.

Skill wise: Am totally an amateur like a baby, could only sew straight line in a patch of unwanted kain, but it would be totally senget benget once i need it to be straight which resulted to several corrections by Kak Yati. I have no idea how to move the kain fluently, it's not as easy as driving a car that's for sure. It's more ilke playing an organ, trying to tekan minyak with your feet and moving your hands together. My brain doesnt work that well in that department unfortunately. Wonder how come i can drive like a pro but can't sew straight LOL :P

To sum things up, i manage to finish in 1 day my very own yellow flowery baju kurung..and this will be happily worn on Raya tahun ni yeay! Baju raya I dah siap y'all!! *tetibe*


~am wearing my very own handmade baju kurung~

We spent the 2nd day touching things up, learning a different method of neck line without any hard glued material tu, jahit mata lalat and even some beading which turns out to be super easy. By lunch time we were done and went out for lunch coz with all that menjahit thing going on, i had NIL time to cook at all. Later we went through everything again and she gave me a certificate. Wah, aren't I the luckiest student and a proud person who can at least sew my own baju kurung with a CERTIFICATE!!!! Bangga wehh.


~receiving the cert from K.Yati~

To anyone else interested with learning some basic skills of baju kurung, baju kebaya or even baju melayu don't hesitate to call up Kak Yati. She's the sweetest mother of 7 and the best sifu i have yet to get. She's not the kinda person that is kedekut ilmu and is infact very VERY proud that her student could make money out of her teachings. She can come to your home or you can go to hers in Ijok.

So now I'm itching to start sewing stuff that i had longed to do especially this, this and this made by totally cute materials likethis and these!! Bolehkah? hehehe let me find out first yah :) *pengsan*

Happy Sewing y'all!!


Kak Yati sentiasa doakan agar Lana http://il4na.blogspot.com maju jaya dalam semua lapangan, insya-Allah.

NOTA:
Untuk makluman, saya tidak lagi mengadakan kelas dari rumah ke rumah. Kini saya menumpukan masa dengan mengadakan bengkel jahitan pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad.

Untuk menyertai bengkel, sila baca entri terbaru (klik sini) kami.

Harap maklum.


10 Julai 2010

Jom Belajar Jahit Baju Melayu


Saya mula belajar menjahit baju Melayu selepas berkahwin, kira-kira 25 tahun lalu. Itu pun lepas jenuh suami menyuruh. Kali pertama siap sehelai baju Melayu untuk suami, saya sendiri malu melihatnya, terutama pada bahagian kolar dan poketnya yang tidak kemas.

Walaupun suami membuat sedikit teguran, tapi beliau tetap memakainya ke surau. Ia sedikit sebanyak mendorong saya untuk mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh. Saya mula bertanya kawan-kawan yang tahu menjahitnya.

Lama kelamaan, jahitan baju Melayu saya bertambah baik.Tahun demi tahun kemahiran bertambah seiring dengan kerapnya saya menjahit baju Melayu untuk suami dan anak-anak.

Hanya setelah saya mengikuti Kursus Jahitan di Desire Academy, barulah saya benar-benar berpuas hati dengan tahap jahitan baju Melayu saya.

Setelah tamat kursus selama setahun, saya mula mengadakan kelas jahitan di rumah saya. Kemudian, saya kembangkan lagi dengan mengadakan kelas-kelas jahitan dari rumah ke rumah. Diikuti dengan mengadakan bengkel-bengkel jahitan. Ia bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai kaum ibu mempelajari bidang jahitan.

Sebenarnya menjahit baju Melayu tidaklah sesukar mana jika kita tahu cara-caranya. Malah bagi saya ia suatu yang mencabar tapi menyeronokkan.

Pernah satu ketika, menjelang hari raya saya dapat menyiapkan 5 helai baju Melayu untuk suami dan anak-anak dalam masa tak sampai dua hari.

Alhamdulillah, walaupun rata-rata peserta saya hari ini memilih belajar menjahit baju kurung dan langsir, saya benar-benar berharap di masa akan datang, lebih ramai yang bersedia belajar menjahit baju Melayu. Malah ada di antara peserta saya yang telah menerimpa tempahan menjahit baju Melayu, antaranya Ummu Habibah dari Langkawi.

Jika anda ingin mengetahui cara-caranya, jom kita belajar menjahit baju warisan kebanggaan kita ini.














Untuk menyertai bengkel, sila baca entri terbaru (klik sini) kami.

Harap maklum.


05 Julai 2010

Mesin jahit apa yang sesuai dibeli?

Ramai peserta baru yang ingin belajar, bertanyakan tentang mesin jenis apa yang patut mereka beli?

Bagi saya, apa-apa mesin pun boleh. Sama ada mesin berkaki atau elektrik.

Manakala jenis mesin pula - biasalah kalau yang ada brand harganya agak mahal. Manakala yang 'biasa-biasa' harganya murah sikit. Mesin yang berharga kira-kira RM500 - RM600 pun okey.

Saya sendiri beli mesin yang berharga kira-kira RM500 sahaja, lebih 10 tahun yang lalu. Alhamdulillah, ia jarang rosak walaupun penggunaannya agak lasak. Jahitannya juga memuaskan hati saya.

Cuma saya selalu ingatkan kepada peserta, belilah mesin di kedai khusus menjual mesin jahit, dan lebih baik jika kedai itu berhampiran dengan kediaman kita.

Ini penting sebagai persediaan jika mesin ada masalah, senang kita merujuk kepada kedai berkenaan.

Selamat menjahit.

07 Jun 2010

Ye ke aku boleh jahit ni?

Seorang surirumah emel kepada saya:

Kursus yg puan anjurkan Cuma 2 hari jer... Kalau orang baru macam saya yang langsung tak ada asas jahitn dan tak tau pasal jahitan...cukup ke msa 2 hri tu? Saya harap sangat puan dapat jelaskan..

Jawapan saya:

Alhamdulillah, ramai antara peserta saya langsung tak pernah ada asas menjahit. Bahkan ada yang langsung tak pernah pegang mesin pun.

Beberapa hari sebelum belajar itulah baru mereka beli mesin jahit. Sebelum hari belajar, saya pesan supaya mereka biasakan dulu menjahit – ambil perca kain, dan jahit lurus. Jahitlah berulang kali supaya tangan kita dapat mengawal pergerakan mesin.

Berkat ketekunan mereka, mereka dapat menjahit sepasang baju kurung dengan sempurna.

Biasanya mereka akan terkejut bila lihat baju dah siap. "Ye ke aku boleh jahit ni?" kata mereka terkejut.

Cuma pesan saya kepada mereka, kena selalu berlatih, agar tangan dapat jahit dengan kemas dan cantik. Belilah kain yang murah-murah dulu, yang penting kena selalu dipraktik ilmu yang tekah dipelajari.

Biasalah orang tak pernah menjahit, sudah pasti jahitan mereka belum kemas. Ada bengkang bengkok di sana sini.

Itulah proses belajar.

05 Jun 2010

Kelas Asas Menjahit Baju Kurung

Alhamdulillah, sambutan terhadap kelas menjahit Baju Kurung amat menggalakkan.

Saya bersyukur kerana kesemua yang telah mengikuti kelas saya dapat capai sasaran yang saya tetapkan.

Oleh kerana masa saya yang amat terhad pada hujung minggu, sedangkan ramai yang bertanya tentang jadual kelas, maka saya ingin menyusun semula kelas menjahit baju kurung seperti berikut:

Kelas 2 hari pada hujung minggu:-
Hari 1 : 10 pagi - 4 ptg (rehat tengahari selama 1/2 jam - makan /solat)
Hari 2 : 10 pagi - 1 tgh.

Jumlah masa: 8 1/2 jam

Yuran: RM250

* Tambahan antara RM20 - RM30 (untuk kos pengangkutan hari ke-2).
* Kos tambahan dikecualikan sekiranya peserta datang belajar di rumah saya.

Maklumat Terkini:

Mulai bulan Mei 2011, saya tidak lagi mengadakan kelas dari rumah ke rumah. Kini saya telah mengadakan bengkel Intensif Baju Kurung selama 2 hari (Sabtu dan Ahad) di Masjid Al Ghufran, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

........................................

Untuk menyertai bengkel, sila baca entri terbaru (klik sini) kami.

Harap maklum.


14 Mei 2010

12 Paten Jahitan Langsir


Semasa saya mengendalikan kursus jahitan langsir kepada peserta, saya ajar 8 paten atau tambah 4 paten lagi untuk pakej lanjutan.


Seperti yang saya sarankan kepada peserta, daripada 12 paten itu, peserta akan mampu menghasilkan berbelas atau berpuluh-puluh paten baru mengikut kekreatifan masing-masing.

Macam mana nak kreatif?

Jawabnya kena selalu buat. Bila selalu jahit langsir, kreativiti akan datang sendiri. Ia bukan sahaja kreatif, malah kemahiran juga bertambah.

Takkan nak jahit langsir rumah sendiri dan tukar setiap bulan?

Jawabnya, beranikan diri untuk menerima tempahan jiran-jiran atau kawan-kawan ataupun sedara mara. Lagipun jahitan langsir amat mahal harganya.


Untuk menyertai bengkel, sila baca entri terbaru (klik sini) kami.

Harap maklum.


21 April 2010

Belajar Jahit dan Masak

Orang-orang tua dulu selalu ingatkan anak-anak dara mereka supaya belajar menjahit dan memasak.

Jahit dan masak mesti tahu. Terutama kaum wanita, walaupun kita ada profesyen sendiri. Ia perkara asas. Ia berkaitan pakaian dan makan minum keluarga.

Hikmahnya jika tahu menjahit ialah setidak-tidaknya kalau ada pakaian koyak, kita boleh jahit sendiri. Tak perlu hantar kedai atau upah orang lain jahit.

Manakala jika pandai memasak pula, kita boleh masak apa saja makanan yang ingin dirasa oleh anak atau suami. Manakala masakannya pula lebih terjamin kesuciannya.

Hikmahnya lagi, bagi wanita yang berkerjaya dan sibuk, kemahiran menjahit dan memasak ini bukan saja boleh dijadikan hobi masa cuti, malah boleh melapangkan fikiran kita (release tension) daripada terlalu tertumpu kepada tugasan harian di pejabat.

Kedua-dua kemahiran ini juga, jika kena gayanya boleh menambah pendapatan bulanan keluarga.

Contoh yang saya suka sebut ialah perihal adik perempuan saya seorang guru siswazah yang selalu mendapat tempahan menjahit langsir daripada jiran-jirannya. Walaupun kerja samping ini dilakukannya pada hari cuti atau hujung minggu, tapi hasilnya lumayan...

Seorang jiran saya yang saya panggil Kak Zah, seorang pegawai tinggi di sebuah kementerian, pandai memasak biskut. Beliau yang akan pencen tidak lama lagi pernah memberitahu saya yang beliau akan mengembangkan 'perniagaan' membekal biskut dari rumah bersama anak perempuannya. Setidak-tidaknya tidaklah hari-hari pencennya berlalu begitu saja.

Oleh itu, ambillah "masa" anda untuk mengikuti kelas masak atau jahitan yang banyak dianjurkan pelbagai pihak berhampiran dengan kediaman anda. Pasti tidak rugi!

17 April 2010

Silap Pasang Benang

Puan Yus seorang peserta dari Manjalara meminta nasihat untuk membeli mesin jahit.

Beberapa hari sebelum beliau memulakan kelas, beliau menelefon untuk menangguhkan kelas. Kerana katanya mesinnya ada masalah.

“Kita mulakan kelas seperti dirancang. Mana tahu saya dapat bantu tengok-tengokkan mesin tu,” balas saya. Saya juga bawa mesin dari rumah sebagai persediaan mesin ganti.

“Alhamdulillah, dah ok kak. Jiran saya yang baiki,” ujarnya sewaktu menyambut saya.

“Apa masalah mesin tu?” tanya saya.

“Silap pasang benang je,” katanya gelak kecil.

Iya, walaupun itu masalah kecil, tapi sepatutnya si penjual menerangkan dengan jelas cara-cara memasang benang, cara bersih mesin dan lain-lain lagi.

Saya kagum dengan Puan Yus. Walaupun baru pertama kali pegang mesin jahit (belajar / berlatih jahit lurus pun hanya pada pagi pertama kelas), tapi telah berjaya menyiapkan sepasang baju kurung yang cantik dalam masa dua hari belajar! Alhamdulillah.



14 April 2010

Ingin Belajar Jahit Baju Melayu


“Assalamualaikum kak. Dah tukar no fon ke?” tegur satu suara. Saya masih cam suaranya. Beliau peserta saya dari Jalan Lembah Pantai. Sebelum ni beliau belajar menjahit baju kurung.

“Aa, iya. Line fon Digi akak susah nak dapat kat rumah akak ni. Kalau nak cakap, kena keluar rumah, baru ada line. Ulu benar kawasan rumah akak ni, ” cakap saya tanpa segan silu sambil ketawa kecil.

“Iya ke? Nasib baik saya teringat kepada blog kakak. Ni yang dapat fon akak ni. Sebenarnya saya nak belajar menjahit baju Melayu,” katanya sambil mengatakan cara saya mengajar sesuai untuknya.

“Insyallah, tetapkan tarikh. Nanti saya datang ke sana,” ujar saya.

Kepada Puan Maria, saya minta maaf. Rasanya macam saya dah sms no fon baru ni (celcom) kepada semua peserta termasuk beliau. Tak sangka pulak ada yang termiss...

13 April 2010

Jahitan Langsir & Bisnes Internet


Beberapa minggu ni, hujung minggu saya agak sibuk kerana berulang alik antara rumah – Gombak – Tasik Puteri dan Kuala Selangor.

Saya ke Gombak kerana mengajar peserta saya Puan Aida belajar menjahit langsir. Ia sebagai persediaan beliau mencari kemahiran dan boleh menjahit langsir untuk rumah baru beliau di Shah Alam kelak. Nati bila rumah barunya siap, saya teringin nak melawat... nak tengok rupa langsir yang awak jahit sendiri kat rumah baru tu...

Saya ke Tasik Puteri keesokannya kerana mengajar peserta saya Puan Anis yang mengambil pakej jahitan asas baju kurung. Lepas ni katanya nak belajar pula jahit baju pyjamas, dan lain-lain pakej, termasuk pakej yang sebenarnya di luar pakej yang saya sediakan.

“Macam-macam benda saya nak belajar dengan akak,” ujarnya.

“Apasal tak beli je barang-barang tu?” soal saya.

“Saya ada perancangan nak bisnes melalui internet,” ujarnya yang juga seorang pakar komputer. Saya begitu kagum dengan perancangannya yang jauh itu.

Manakala saya ke Kuala Selangor kerana jemput dan hantar anak bongsu ke sekolah berasramanya. Anak bongsulah katakan....

06 Februari 2010

SOALAN LAZIM

Saya sering ditanya soalan-soalan berikut oleh peserta yang baru pertama kali hendak belajar menjahit. Antaranya...

SOALAN : Bagaimanakah kaedah puan mengajar?

JAWAPAN : Saya mengajar teknik mudah untuk menjahit sepasang baju. Bagaimana teknik membuat ukuran, teknik memotong, menjahit, cara mudah membuat dan menjahit leher, dan sebagainya.

Saya akan ajar cara paling mudah untuk menjahit sepasang baju mengikut tahap dan keupayaan peserta. Kerana saya sedar ada antara peserta langsung tidak pernah “pegang” mesin jahit pun sebelum ini. Dan cara saya ini diakui mudah dan praktikal oleh beberapa peserta yang pernah mengikuti kelas jahitan lain sebelum belajar dengan saya.

Sebenarnya, apa yang saya ajar kepada peserta ialah cara-cara bagaimana saya menyiapkan tempahan pakaian daripada pelanggan saya setiap hari. Saya gabungkan ilmu jahitan yang saya pernah belajar dengan beberapa institusi swasta dan pengalaman saya menjahit selama lebih 20 tahun. Ini bermakna saya ajar apa yang saya buat.

Bagi memudahkan peserta belajar, saya tetapkan jumlah peserta bagi setiap sessi ialah antara seorang hingga tiga orang sahaja. Jumlah yang kecil ini memudahkan saya memberi tunjukajar secara terus (hands-on) kepada peserta. Mereka juga akan dapat siapkan kerja di bawah pengawasan terus daripada saya.

SOALAN : Saya belum pernah belajar menjahit. Pegang mesin pun tak tahu. Bolehkah saya pandai dalam masa dua hari?

JAWAPAN : Pengalaman saya, kebanyakan peserta yang belajar dengan saya, ada yang tidak pernah belajar menjahit. Dalam erti kata mudah, tidak pernah pegang mesin!

Alhamdulillah, berkat ketekunan mereka, akhirnya kesemua mereka kini sudah mampu menjahit baju sendiri. Malah ramai juga yang sudah menerima tempahan jahitan daripada jiran atau kawan-kawan.

Seorang peserta saya dari Langkawi yang ambil pakej baju Melayu, kini mampu menerima tempahan menjahit baju Melayu di sana.

SOALAN : Saya tiada mesin jahit. Perlukan saya membelinya?

JAWAPAN : Saya selalu nasihatkan bakal peserta agar membeli mesin sendiri sebelum mula belajar.

Tujuannya supaya peserta dapat membiasakan diri dengan mesin jahit. Sebagai permulaan, ambil perca kain yang tidak dipakai dan buatlah jahitan lurus dulu. Lakukannya setiap kali anda ada kelapangan masa. Tujuannya supaya peserta dapat memahirkan pergerakan dan kawalan tangan semasa menggunakan mesin.

Bila kita selalu menjahit lurus, insya-Allah kita akan mudah mengawal mesin ketika kita belajar menjahit sepasang baju kurung.

Sebelum beli mesin, ada baiknya kalau puan-puan dapat menelefon saya dahulu. Insyaallah, saya akan beri sedikit nasihat tentang mesin mana yang sesuai dibeli.

SOALAN : Bagaimana jadual kelas puan?

JAWAPAN : Jadual kelas saya ialah setiap pada hujung minggu iaitu hari Sabtu dan Ahad.

Ada peserta memilih setiap hari Sabtu selama dua kali berturut. Ada yang pilih hari Ahad. Malah ada juga yang pilih hari Sabtu dan Ahad sekaligus.

Biasanya kelas dimulakan pukul 10 pagi – 5 petang. Namun, adakalanya saya mula awal iaitu jam 9 pagi dan berakhir jam 6 petang. Ini bergantung kepada kesungguhan dan kesediaan peserta untuk belajar.

SOALAN : Berapa yuran?

JAWAPAN : Sejak akhir-akhir ini kebanyakan peserta memilih untuk belajar teknik menjahit baju kurung.

Yuran untuk kelas baju kurung selama dua hari ialah RM250 seorang.

Bagaimana pun, jika peserta ada membawa satu atau dua peserta lagi, peserta akan diberikan diskaun.

Saya juga mengenakan sedikit charge kenderaan bagi mana-mana lokasi melebihi 50 km jaraknya dari rumah saya. Kadar bayarannya akan ditentukan semasa perbincangan dengan peserta. Biasanya tidak melebihi RM30 sahaja bagi dua kali kelas.

SOALAN : Jika kelas diadakan di rumah saya, perlukan saya menyediakan makan tengahari untuk semua peserta?

JAWAPAN : Saya tidak menetapkan peserta tuan rumah untuk menyediakan makanan, sama ada untuk saya atau peserta lain.

Selalunya saya akan bawa bekal sendiri untuk sarapan dan makan tengahari.

Pada peringkat awal saya membuka kelas begini dulu, saya akan keluar antara jam 1 – 2 petang ke surau atau masjid berdekatan untuk rehat, makan dan solat Zuhur. Namun, cara ini banyak memakan masa saya. Ada kalanya lebih sejam.

Jadi saya ambil keputusan untuk berehat sekejap pada waktu tengahari, sambil makan dan solat Zuhur di rumah peserta sahaja. Cara ini amat menjimatkan masa.

27 Januari 2010

Bukit Jelutong

Hujung minggu lalu, selama dua hari berturut-turut saya ke Bukit Jelutong kerana mengajar 3 peserta baru saya yang ingin belajar menjahit baju kurung. Inilah pertama kali saya memasuki kawasan itu, walaupun selalu melintasi depan pintu utamanya.


Kami disambut dengan pancutan air - tenang dan menyejukkan mata

Jaraknya kira-kira setengah jam dari rumah saya. Ia sebuah kawasan yang cantik. Jalan-jalannya lebar dan tidak sibuk walaupun ia suatu kawasan yang amat padat. Mungkin kerana waktu itu hujung minggu.

Kami tersesat seketika ketika mencari alamat yang diberikan. Saya minta izin suami untuk menelefon peserta, tapi suami jawab, tak apa, biar kita round dulu kawasan ini puas-puas. Kerana kawasan ni cantik, tenang.

Memang, pengaturan dan susunan jalan, rumah-rumahnya memang tersusun, kemas, teratur. Banyak pokok pulak tu. Bahkan ada antara kawasan belakang rumah-rumah di situ sengaja dibina mini-mini taman untuk mereka sekeluarga berehat. Uhh... ada stail tersendiri.

Sementara saya sibuk mengajar ketiga-tiga peserta saya (iaitu Puan Sukinah, Puan Jida dan Puan Puspa) belajar menjahit, suami pula sibuk merakam pemandangan yang disukainya di kawasan tersebut.

Inilah sebahagian daripadanya.


Jalan-jalannya lebar

Pokok di sekeliling rumah - udara yang amat segar

Ini pula kisah peserta saya.


Belajar mengukur


Mereka dapat menja
hit dengan baik,
walaupun inilah pertama kali "pegang mesin jahit"



Ha, dah siap pun sepasang baju kurung hasil kerja tangan mereka.